Rabu, 14 September 2016

Hock Kin layak ke separuh akhir

ARKIB : 15/08/1998
SINGAPURA - Yong Hock Kin menjadi peserta tunggal negara melangkah ke separuh akhir Piala Konica setelah mengalahkan rakan sepasukan Wong Choon Hann 15-8, 15-2, di sini, semalam, lapor ISHAK SALLEH.

Pemain negara ke KL '98 itu jelas tidak menghadapi masalah menewaskan rakan pelatihnya itu yang turut disenaraikan sebagai pemain simpanan ke Sukan Komanwel itu.

Ternyata Choo Hann tidak mampu menyekat kehebatan rakan sepasukan meskipun sudah mencuba sedaya upaya dalam usaha untuk layak ke separuh akhir.

Kemaraan Hock Kin bagaimanapun gagal diteruskan oleh seorang lagi pemain harapan negara Ong Ewe Hock yang tewas kepada Hendrawan dari Indonesia 10-15, 7-15 pada perlawanan suku akhir.

Hendrawan menunjukkan kehebatannya sebagai jaguh Indonesia dengan mudah menyekat kemaraan Ewe Hock yang menjadi antara pemain harapan negara pada KL '98.

Pada perlawanan suku akhir yang lain menyaksikan Peter-Gade Christensen dari Denmark mara ke separuh akhir selepas menumpaskan Dong Jiong (China), 15-11, 6-15, 17-16.

Sun Jun bagaimanapun tidak menghampakan cabaran China apabila mengetepikan Poul Erik Hoyer Larsen dari Denmark, 10-15, 15-3, 15-11.

Sementara itu, Camilla Martin dari Denmark layak ke separuh akhir dalam acara perseorangan wanita menumpaskan Cindana (Indonesia), 11-3, 11-3.

Turut layak ke separuh akhir ialah Susi Susanti (Indonesia) selepas menumpaskan Zhang Ning (China) 9-11, 11-5, 11-5 di peringkat suku akhir.

Dua lagi pemain China Ye Zhaoying dan Gong Zhichao turut layak ke separuh akhir selepas melepasi halangan masing-masing pada suku akhir.

Ye menumpaskan rakan senegara Zeng Yaqiong, 11-5, 11-6 manakala Gong membenam Mia Audina (Indonesia) 0-11, 11-5, 11-8.

Sementara itu cabaran beregu wanita negara Lim Peck Siah/Chor Hooi Yee berakhir kepada pasangan Belanda, Nicole Van Hooren/Lotte Jonathans 12-15, 4-15

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4KFPjlZIw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan