Selasa, 13 September 2016

Pintu sudah ditutup - Fadzil -- Hasrat Roslin tidak kesampaian

ARKIB : 27/07/1998
HASRAT Roslin Hashim untuk beraksi buat pertama kali pada Sukan Komanwel tidak kesampaian apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan tegas tidak menerima kehadiran pemain Nusa Mahsuri.

Badan induk itu mengambil langkah 'menutup pintu' apabila presidennya Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan memaklumkan bahawa sudah terlewat bagi pemain kelab itu menyertai latihan pusat yang telah bermula sejak dua minggu lepas.

Keputusan itu juga sekali gus menamatkan impian Rashid Sidek untuk cuba mencatat nama sebagai pemain pertama memenangi pingat emas tiga kali berturut-turut pada temasya yang diadakan empat tahun sekali itu.

Kenyataan mengejut Fadzil itu dibuat lima hari sebelum mesyuarat Exco BAM, yang akan membincangkan senarai pemain yang akan mewakili negara pada Sukan Komanwel XVI, September ini.

''Sudah terlambat sekiranya mereka (Nusa Mahsuri) ingin menyertai latihan bersama sekarang.

''Mereka boleh datang Selasa ini (esok) sekadar menyaksikan pemain kami (BAM) menjalani latihan.

''Sekiranya mereka masih mahu berlatih, kami (BAM) boleh memberi sedikit ruang tetapi bukan menyertai program latihan Sukan Komanwel,'' katanya selepas menyaksikan Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur di Stadium Badminton Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Dr. Fadzil, BAM tidak perlu terus berlembut membiarkan 'kepala' mereka dipijak sewenang-wenangnya oleh pihak lain.

''Saya rasa kami sudah cukup bersabar dengan tindakan Nusa Mahsuri ini. Kami telah lama beralah tetapi mereka (Nusa Mahsuri) terus menyerang sejak kelab itu mula ditubuhkan,'' katanya mengimbas semula permulaan konflik antara kedua-dua pihak.

Menurut Dr. Fadzil, Nusa Mahsuri yang ditubuhkan tiga bulan selepas beliau dilantik menjadi Presiden BAM, lima tahun lalu diwujudkan untuk tujuan jahat.

''Kewujudan Nusa Mahsuri adalah untuk tujuan jahat. Dari mula lagi mereka menyerang. Dulu mereka serang Datuk Punch (Gunalan) sedangkan mereka lupa beliau (Punch) banyak membantu. Sekarang mereka serang saya pula.

''Kalau kami nak tunjukkan kuasa sudah lama kami gam mereka, tetapi kami tidak berbuat demikian malahan kami tidak mengambil sebarang tindakan.

''Malah kami selalu menjemput mereka mengambil bahagian dalam kejohanan berpasukan yang melibatkan penyertaan negara sebagai satu pasukan tetapi mereka pijak kepala kami pula,'' katanya panjang lebar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai hasrat Nusa Mahsuri ingin menyertai semula latihan bersama setelah Majlis Sukan Negara bersetuju membayar elaun latihan termasuk tunggakan yang dikatakan berjumlah RM1,500.

Mengenai bayaran elaun itu, Dr. Fadzil berkata, beliau tidak mengetahui mengenai persetujuan MSN itu kerana setakat ini badan induk itu tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenainya.

''Saya tidak tahu mengenai persetujuan yang dibuat antara MSN dan Nusa Mahsuri tetapi kami (BAM) bersedia berbincang,'' katanya mengulas perkara itu.

Sementara itu, pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen tidak menerima sebarang kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak mengenai persetujuan pemain Kelab Nusa Mahsuri menyertai latihan bersama.

Menurut Frost, beliau tidak mengetahui sama ada pemain daripada kelab itu akan menyertai latihan bersama yang diadakan Selasa ini seperti yang digembar-gemburkan oleh setengah pihak.

''Saya tidak tahu mengenai ini. Saya hanya mendapat maklumat melalui laporan akhbar tetapi setakat ini saya tidak mendapat sebarang maklumat rasmi.

''Kita tunggu dan lihat pada hari latihan nanti,'' katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Kelmarin Frost menyatakan bahawa beliau tidak berminat mencalonkan pemain Nusa Mahsuri dalam skuad Sukan Komanwel yang akan diputuskan pada mesyuarat Exco BAM, Jumaat depan.

Menurutnya, keengganan pemain kelab itu menyertai Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur yang berakhir semalam menunjukkan mereka tidak berminat untuk dipertimbangkan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4KBM4jBIu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan