ARKIB : 21/05/1998
Roslin angkat sedikit maruah
negara
PEMAIN Nusa Mahsuri, Roslin
Hashim memusnahkan hasrat Indonesia memenangi semua perlawanan dengan Malaysia
apabila menewaskan Marleve Mainaky 15-11,15-6 pada pertemuan perseorangan kedua
di Stadium Tertutup Queen Elizabeth, Hong Kong, semalam.
Roslin yang pada mulanya
disenaraikan sebagai pemain simpanan bersama-sama dengan Wong Choon Hann
menggugat keegoaan pasukan Indonesia dengan kemenangan itu setelah Yong Hock
Kin serta beregu Cheah Soon Kit-Choon Tan Fook kecundang.
Pemain Kelantan berusia 23
tahun yang mendapat latihan daripada Misbun Sidek mempamerkan permainan
seimbang untuk mendahului 4-0 kemudian 11-3, 14-6 sebelum menamatkan set
pertama 15-11.
''Permainan Roslin sungguh
baik. Dia mempamerkan permainan seimbang dengan membuat beberapa serangan untuk
mematikan permainan Marleve.
''Dia bukan sekadar lari dan
membuat pukulan rali tetapi juga membuat serangan'' kata Morten Frost Hansen
ketika ditemui selepas perlawanan itu.
Marleve yang beraksi cemerlang
untuk menang 15-2, 15-1 menentang Jang Chun Woon pada perlawanan menentang
Korea Selatan Isnin lalu kelihatan agak gugup pada set kedua berdasarkan
beberapa kesilapan yang memberi mata kepada Roslin.
Keadaan itu menyebabkan Roslin
yang semakin yakin dengan kemampuannya menguasai perlawanan dan mendahului 5-1,
kemudian 9-5 sebelum mengakhiri perlawanan dengan keputusan 15-6 pada pertemuan
kali pertamanya dengan pemain itu.
''Saya berharap untuk terus
diturunkan pada perlawanan akan datang,'' katanya ketika ditemui selepas
perlawanan.
Sementara itu, Misbun yang
bangga dengan kemampuan anak buahnya yakin Roslin mampu membuat kejutan lagi. -
Utusan.
SUMBER=Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4JSvmINMf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan