Selasa, 13 September 2016

Misbun pertikai pemilihan Choon Hann

ARKIB : 01/08/1998
KETUA jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek mempersoalkan pemilihan Wong Choon Hann dalam skuad badminton negara ke Sukan Komanwel XVI Kuala Lumpur '98 pada 11-21 September ini.

Choon Hann adalah antara pemain perseorangan yang dipilih menyertai skuad negara ke temasya itu bersama Ong Ewe Hock, Yong Hock Kin, Roslin Hashim, Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock dan Choong Tan Fook/Lee Wan Wah.

''Saya hairan kenapa beliau (Choon Hann) tersenarai dalam skuad terakhir itu...atas kriteria apa? Saya terkejut dengan pengumuman itu,'' kata Misbun ketika dihubungi, petang semalam.

Katanya, berdasarkan kepada prestasi terkini, Rashid lebih layak mendapat tempat malah ranking beliau (Rashid) dalam Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) lebih baik daripada Choon Hann.

''Saya benar-benar terkejut. Pemilihan ini seolah-olah membelakangkan ranking dan prestasi semasa seseorang pemain itu,'' kata Misbun yang turut disingkir sebagai jurulatih kebangsaan ke temasya itu.

Berdasarkan kepada ranking terbaru IBF, Rashid menduduki tempat ke-18 diikuti oleh Roslin (21) dan Choon Hann (25).

Ewe Hock berada pada ranking ke-5, sementara Hock Kin ke-9.

Misbun yang sudah menjangkakan pemilihan Roslin dalam skuad negara juga terkejut dengan keputusan BAM memilih lapan pemain. Pada mulanya beliau difahamkan hanya tujuh pemain sahaja akan dipilih.

Kenapa keputusan itu berubah-ubah...tidak mengikut ketetapan yang dibuat sebelum ini, katanya.

Dengan pemilihan itu, Misbun menyifatkan bahawa BAM tidak meletakkan sasaran terhadap Rashid malah langsung tidak membuka peluang kepadanya.

Pada temasya yang sama di Victoria empat tahun lepas, Rashid adalah pemenang pingat emas menewaskan Ewe Hock dalam perlawanan akhir individu.

Misbun juga tidak menolak kemungkinan bahawa penyingkiran Rashid itu ada kaitan dengan kesnya ketika skuad negara sedang dalam persediaan menghadapi pusingan akhir Piala Thomas di Hong Kong, Mei lepas.

Difahamkan keputusan BAM untuk memilih lapan pemain dalam skuad terakhir itu kerana bimbang Roslin akan menarik diri daripada skuad.

Seolah-olah BAM sudah bersedia dengan perancangan mereka, malah gambaran yang mereka beri (memasukkan Choon Hann sebagai pemain simpanan) secara tidak langsung merupakan satu usaha untuk mengetepikan Roslin dalam skuad itu. - Bernama.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KC11Ztpb © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan