Isnin, 5 September 2016

Ulam Belanda -- Kita mampu menang 5-0 - Morten Frost

ARKIB : 18/05/1998
Ulam Belanda -- Kita mampu menang 5-0 - Morten Frost
TIDAK kira siapa pun yang bakal diturunkan, Malaysia sudah pasti mampu mencatat kemenangan 5-0 ke atas Belanda pada perlawanan kedua Kumpulan B Kejohanan Badminton Piala Thomas di Stadium Queen Elizabeth, Hong Kong, hari ini.

Itulah kepastian yang diberikan oleh jurulatih negara, Morten Frost Hansen mengenai perlawanan tersebut dan jangkaan itu diperkuatkan dengan pencapaian pasukan Belanda yang tewas 5-0 pada perlawanan pertama mereka menentang juara bertahan, Indonesia kelmarin.

''Saya yakin mata kedua negara dapat dikumpul pada perlawanan esok (hari ini) dan jangkaan saya, pemain kita mampu menang 5-0,'' katanya, semalam.

Namun jurulatih Belanda, Bob Sanders, memberi amaran awal bahawa pasukannya tidak akan memberi laluan mudah kepada Malaysia pada pertemuan itu.

''Pastinya ada kejutan pada perlawanan esok (hari ini). Kami tidak akan menyerah terlalu mudah dan kekalahan 5-0 dengan Indonesia tidak mungkin berulang,'' katanya ketika ditanya mengenai pertemuan hari ini.

Amaran itu dibuat setelah pasukan wanitanya hampir mengejutkan juara bertahan Indonesia setelah pemain perseorangannya, Brenda Beenhakker dan beregu Nicole Van Hooren-Lotte Jonathans menewaskan lawan masing-masing untuk mengikat keputusan 2-2.

Namun, nasib menyebelahi Indonesia apabila pemain perseorangan ketiganya, Ellen Engelina mendapat mata kemenangan setelah menewaskan Lonneke Janssen 11-2, 11-7.

Menurut Sanders, pasukan lelakinya juga berupaya membuat kejutan pada perlawanan hari ini dan Malaysia tidak harus memandang rendah dengan kemampuan mereka.

Berdasarkan persaingan yang kurang sengit itu, Frost dijangka memberi peluang kepada dua pemain simpanan, Wong Choon Hann dan Tan Kim Her untuk beraksi pada perlawanan yang diadakan tengah hari ini.

Kemenangan 4-1 ke atas Korea Selatan kelmarin memberi kelegaan kepada pasukan negara dan jurulatih dari Denmark itu yang kini hanya perlu memikirkan mengenai pertemuan dengan Indonesia bagi merebut tempat sebagai juara kumpulan B itu.

Pada perlawanan menentang Indonesia, Belanda tumpas 5-0 dalam semua perlawanan secara straight set bagi memberi mata pertama kepada pasukan juara bertahan itu.

Menurut Frost, Belanda dijangka menurunkan barisan pemain yang sama seperti ketika bertemu Indonesia dan pertukaran hanya boleh dilakukan pada barisan perseorangan mereka, Dicky Palyama yang masih belum diturunkan.

''Mereka tidak mempunyai banyak pilihan untuk menukar barisan pemain. Barisan yang sama ketika menentang Indonesia mungkin diturunkan esok (hari ini),'' ujarnya. - Utusan.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JOBeqZ42 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan