Isnin, 5 September 2016

Malaysia, Indonesia ke separuh akhir


 

ARKIB : 19/05/1998
Malaysia, Indonesia ke separuh akhir
MANTAP... Gandingan baru negara, Choong Tan Fook-Tan Kim Her memberi aksi meyakinkan apabila menewaskan pasangan Belanda, Norbert Van Barneveld-Joris Van Soerland 15-7, 15-12 pada pusingan akhir Piala Thomas di Stadium Queen Elizabeth, Hong Kong, semalam. - Gambar Bernama.

Juara bertahan, Indonesia yang berusaha mencatat kejuaraan hat trcik Piala Thomas turut mengesahkan tempat ke separuh akhir berikutan kemenangan ke atas Korea Selatan 4-1 dalam kumpulan yang sama.

Dengan keputusan itu, perlawanan antara Malaysia dan Indonesia esok hanya untuk menentukan tempat pertama dan kedua dalam kumpulan B bagi menyusun pertemuan dengan juara dan naib juara kumpulan A di separuh akhir, Khamis ini.

Ong Ewe Hock yang diturunkan sebagai perseorangan pertama beraksi cemerlang menyumbang mata pertama negara dengan menumpaskan Jeroen Van Dijk 15-3, 15-6.

Naib juara Seluruh England itu hanya mengambil masa 23 minit menewaskan Jeroen yang dikatakan tidak cukup cergas untuk pertemuan semalam.

Kemenangan pemain berusia 26 tahun itu sekali gus menyemarakkan semangat pemain lain untuk memastikan sasaran kemenangan 5-0 ke atas Belanda menjadi kenyataan.

''Ewe Hock membuat permulaan yang baik dengan memenangi perlawanan dengan Jeroen. Ia memberi semangat kepada yang lain menewaskan lawan masing-masing,'' kata jurulatih, Morten Frost Hansen.

Beregu Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock juga tidak menghadapi masalah pada pertemuan dengan Quinten Van Dalm-Dennis Lens yang menyaksikan mereka menang 15-5, 15-9 bagi mata kedua negara.

Yong Hock Kin sekali lagi memastikan pertemuan itu milik Malaysia dengan menyumbangkan mata ketiga setelah menumpaskan Dicky Palyama 15-8, 15-6 dalam masa 28 minit.

Gandingan Choon Tan Fook-Tan Kim Her dan Wong Choon Hann menutup tirai kemenangan dengan dua mata terakhir setelah menewaskan lawan masing-masing.

Beregu kedua negara itu menewaskan Norbert Van Barneveld-Joris Van Soerland 15-7, 15-12 sementara Choon Hann yang pertama kali beraksi menang mudah kepada Gerben Bruijstens 15-4, 15-12.

Jurulatih Belanda, Martijn Van Doormeland yang mengakui kehebatan pemain negara menerima secara terbuka keputusan perlawanan dan yakin pasukan yang pertama kali beraksi pada Piala Thomas ini akan lebih mantap pada kejohanan akan datang.

Kekalahan beregu kedua Indonesia, Chandra Wijaya-Sigit Budiarto ditangan beregu Korea Selatan, Ha Tae Kwon-Kang Kyung Jin sedikit sebanyak menyerlahkan kelemahan mereka menjelang pertemuan dengan Malaysia, esok.

Beregu itu tewas 15-6, 9-15, 15-18 setelah beraksi selama 66 minit menyebabkan Indonesia hanya memperoleh kemenangan 4-1 ke atas Korea Selatan.

Namun, Pengurus Pasukan Indonesia, Agus Wirahadi Kusumah yakin mereka masih mempunyai barisan pemain beregu yang mantap pada pertemuan dengan Malaysia nanti. - Utusan.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JOFB2XZp

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan