Ahad, 11 September 2016

Beregu lelaki kita ke separuh akhir

ARKIB : 21/06/1998
Beregu lelaki kita ke separuh akhir
KEMAMPUAN pemain negara terus dicabar apabila hanya pasangan beregu lelaki dan beregu campurannya sahaja berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Chan Chong Meng yang berpasangan dengan Teo Kok Seng menjadi penyelamat pasukan negara apabila mara ke separuh akhir dalam acara beregu lelaki setelah menewaskan gandingan Zhang Yi-Cai Yun 15-13, 7-15, 15-5 di pusingan suku akhir, semalam.

Dia yang juga berpasangan dengan Joanne Quay turut mara ke separuh akhir dalam acara beregu campuran setelah menewaskan satu lagi pasangan China, Zhang Qinrong-Hu Ting 15-8, 15-2 di pusingan suku akhir.

Chong Meng yang menjuarai acara beregu lelaki tahun lalu ketika berpasangan dengan Jeremy Gan sebelum itu menumpaskan gandingan Titipong Lapoe-Polawat Danparukkul dari Thailand 12-15, 15-7, 15-6 di pusingan keempat bagi melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Pasangan itu dijangka menghadapi laluan sukar apabila bertemu pasangan Thailand, Patapol Nyemsrisuk-Sudket Prapakamol di separuh akhir, pagi ini.

Chong Meng yang beraksi dalam empat perlawanan (pusingan keempat dan suku akhir beregu lelaki dan beregu campuran) semalam turut menumpaskan beregu campuran Korea Selatan, Heo Hoon Hoi-Hwang Yu Mi 15-3, 15-1 pada sebelah pagi sebelum ke perlawanan suku akhir tersebut.

Pasangan negara itu akan membuat perhitungan dengan gandingan Chen Yu-Jin Beilei di separuh akhir pagi ini bagi merebut tempat ke perlawanan akhir yang diadakan pada sebelah petang.

Sebelum itu, Malaysia hampir mengakhiri cabarannya pada kejohanan ini apabila kesemua pemain perempuan dan perseorangan lelakinya tewas di pusingan keempat dan suku akhir, semalam.

Sairul Amar yang mempamerkan prestasi cemerlang sejak pusingan pertama berjaya membuat kejutan apabila menewaskan pilihan pertama kejohanan, Zhang Yi dari China 15-8, 4-15, 10-15 pada pusingan keempat.

Namun, kecemerlangannya itu gagal diteruskan di pusingan suku akhir dan dia tewas 15-9, 10-15, 6-15 kepada Endra Ferianto dari Indonesia.

Yeoh Kay Bin yang turut menumpaskan seorang lagi pemain China, Chen Yu di pusingan keempat turut tersingkir di peringkat suku akhir setelah kecundang 10-15, 15-2, 15-12 kepada Lee Hyun II dari Korea Selatan.

Oleh: LAWRENCE QUEK




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Jzt4oBhl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan