Selasa, 13 September 2016

Rashid digugur kerana kecederaan

ARKIB : 01/08/1998
PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen menjelaskan bahawa Rashid Sidek tidak dipilih mewakili negara ke Sukan Komanwel kerana masalah kecederaan yang dialaminya.

Menurut beliau, keputusan itu juga diambil berdasarkan faktor usia pemain itu yang kini sudah mencecah 30 tahun.

''Seandainya krisis dengan Nusa Mahsuri tidak berlaku, Rashid tetap tidak akan dipilih dalam pasukan ini.

''Kami tidak mungkin memilih Rashid kerana masalah kecederaan yang masih dialaminya di samping usianya yang telah lanjut.

''Selain daripada itu dia juga tidak menunjukkan komitmen terhadap pasukan berdasarkan tindakan yang diambil sebelum ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Exco mengesahkan penyenaraian 16 pemain lelaki dan wanita termasuk dua pemain simpanan dalam skuad badminton negara ke Sukan Komanwel XVI di Kuala Lumpur, September ini.

Badminton merupakan acara yang memikul tugas paling berat pada temasya itu apabila disandarkan tanggungjawab meraih tiga daripada tujuh pingat emas untuk negara.

Dalam perkembangan lain, Rashid yang telah meraih pingat emas sebanyak dua kali pada Sukan Komanwel 1990 dan 1994 tidak terkejut dengan keputusan BAM menyingkirkannya daripada menyertai temasya itu buat kali ketiga.

Beliau bagaimanapun menyifatkan keputusan BAM yang hanya mahu berhubung dengan persatuan badminton negeri sebagai tidak adil dan menutup peluangnya untuk beraksi pada kejohanan badminton terutama di peringkat antarabangsa.

Jawatankuasa Pemilihan BAM pada 14 Julai lalu telah memilih tujuh pemain lelaki termasuk pemain Nusa Mahsuri, Roslin Hashim dan tujuh pemain wanita serta dua pemain simpanan Wong Choon Hann dan Ishwari.

Keputusan itu telah diluluskan oleh Exco badan induk itu yang bermesyuarat di Kuala Lumpur, semalam.

Penyertaan Roslin pada temasya itu telah diuruskan oleh Persatuan Badminton Kelantan (KBA) yang membuat rayuan pada BAM agar menyenaraikannya dalam pasukan kebangsaan itu.

Wakil KBA yang menghadiri mesyuarat itu, Datuk Wan Hashim Wan Ahmad juga telah ditugaskan untuk memberi surat rasmi mengenai pemilihan pemain itu.

''Saya akan berikan surat ini kepada bapa Roslin esok (hari ini) kerana dia datang bertemu saya merayu agar Roslin disenaraikan untuk Sukan Komanwel,'' katanya.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4KC0Lrx2X © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan