Khamis, 15 September 2016

Kita tunjuk kuasa tangkis

ARKIB : 10/09/1998
Pemain negara yang diletakkan sebagai pilihan pertama memberi kurang daripada lima mata pada setiap set yang hanya memakan purata masa kira-kira 18 minit setiap perlawanan.

Ong Ewe Hock yang diturunkan sebagai perseorangan pertama menumpaskan Bradley Graham 15-3, 15-4 dalam masa 22 minit diikuti Yong Hock Kin yang mencatat kemenangan 15-2, 15-2 ke atas Roy Paul dalam masa 15 minit.

Kehadiran penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) Putera Edward yang menyaksikan perlawanan itu terus membakar semangat pemain negara untuk membuktikan penguasaan mereka.

Jamaica terus tenggelam dalam keghairahan pemain negara menamatkan perlawanan secepat mungkin dan Wong Choong Hann yang diletakkan sebagai perseorangan ketiga mengutip mata kemenangan setelah menewaskan Andre Stewart 15-1, 15-2 dalam masa 17 minit.

Beregu utama negara, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock turut mendapat kemenangan besar dengan menewaskan Robert Richards- Roy Paul 15-3, 15-2 dalam masa 18 minit sebelum Lee Wan Wah- Choong Tan Fook menamatkan perlawanan dengan kemenangan 15-1, 15-1 ke atas Charles Pyne-Andre Stewart untuk memastikan kemenangan 5-0.

Dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan A, Kanada menewaskan Ireland Utara 5-0.

Pengurus pasukan Ireland Utara, Peter Kinhead tetap berpuas hati dengan usaha anak buahnya dan meletakkan sasaran mengutip sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan menentang Malaysia, hari ini.

Pada temasya di Victoria empat tahun lalu, Malaysia menewaskan Ireland Utara 5-0 dalam acara berpasukan.

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan badminton negara, Morten Frost Hansen yakin Malaysia boleh memenuhi matlamat dalam pertandingan badminton berpasukan lelaki pada KL'98.

''Acara berpasukan lelaki adalah yang paling selamat bagi kita memenangi pingat berbanding acara lain,'' kata jurulatih yang berasal dari Denmark itu selepas Malaysia menewaskan Jamaica 5-0 dalam perlawanan kumpulan A, semalam.

''Ia mungkin bukan masalah besar bagi Malaysia...saya sentiasa mengingatkan pemain supaya berhati-hati dan cuba elak daripada mendapat kecederaan,'' kata Frost.
Beliau mengakui England boleh memberi cabaran, tetapi tidaklah sehingga kita boleh kalah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KKBu8cxl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan