Rabu, 14 September 2016

Roslin disingkir

ARKIB : 08/08/1998
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan drastik menyingkir pemain Nusa Mahsuri, Roslin Hashim daripada skuad Sukan Komanwel dan menyenaraikan Wong Choong Hann yang sebelum ini diletakkan sebagai pemain simpanan.

Penyingkiran Roslin diputuskan semalam setelah menerima surat penjelasan daripada Persatuan Badminton Kelantan (PBKN) yang menolak rayuan pemain itu untuk terus berlatih di bawah pemerhatian jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek.

Setiausaha Kehormat PBKN, Nik Ariff Nik Mansor kelmarin memaklumkan bahawa persatuan itu menolak rayuan Roslin yang masih berharap mendapat khidmat Misbun sebagai jurulatih sepanjang persediaan menghadapi Sukan Komanwel.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana rayuan Roslin dianggap sebagai satu usaha mengubah semula keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Exco badan induk itu.

Menjelaskan keputusan BAM itu, Presidennya, Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan dalam kenyataannya berkata, keputusan itu diambil bersesuaian dengan keputusan Exco BAM yang bermesyuarat 31 Julai lalu.

Menurut Dr. Fadzil, tindakan Roslin meninggalkan sesi latihan pusat tanpa sebab sejak 5 Ogos lalu menyebabkan badan induk itu mengambil tindakan menggugurkannya.

''Saya, bagi pihak BAM ingin memaklumkan bahawa selepas meneliti segala aspek tentang ketidakhadiran saudara Roslin Hashim tanpa sebab dalam latihan pusat pasukan lelaki kebangsaan sejak 5 Ogos 98 di Pusat Latihan BAM, Kuala Lumpur, telah bersetuju untuk mengambil keputusan mengugurkan saudara Roslin daripada pasukan tersebut.

''Keputusan ini diambil bersesuaian dengan keputusan Exco BAM pada 31 Julai '98 yang lalu di mana semua pemain yang dipilih mesti berlatih bersama mulai 4 Ogos dan bersetuju menerima syarat-syarat latihan pusat.

''Dengan keputusan ini, maka BAM bersetuju menamakan Wong Choon Hann ke dalam pasukan ini,'' katanya dalam kenyataan selembar yang dikeluarkan.

Kenyataan itu sekali gus menutup peluang Roslin mengikuti jejak langkah rakan sekelabnya, Rashid Sidek mencipta nama pada temasya empat tahun sekali itu.

Krisis antara BAM dan Nusa Mahsuri bermula apabila Roslin bersama dua lagi pemain kelab berkenaan, Ismail Saman dan Rashid serta jurulatih mereka, Misbun enggan menyertai latihan bersama yang ditetapkan oleh badan induk itu 14 Julai lalu yang menjadi sesi pemilihan 14 pemain terakhir mewakili negara ke Sukan Komanwel.

Tindakan itu telah memaksa Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan dan pada 31 Julai lalu Exco BAM telah bersetuju menyenaraikan seorang pemain Nusa Mahsuri, Roslin dalam pasukan badminton Sukan Komanwel.

Roslin bagaimanpun hanya muncul pada hari pertama latihan pusat sebelum menghilangkan diri sehingga BAM mengambil keputusan menggugurkannya, semalam.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4KEgRzN67 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan