Isnin, 12 September 2016

Malaysia tersingkir -- Badminton Terbuka Malaysia

ARKIB : 05/07/1998
CABARAN Malaysia berakhir semalam selepas Rashid Sidek dan Yong Hock Kin tumpas kepada pencabar masing-masing pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Proton-Eon 1998 di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang, semalam.

Rashid tunduk kepada kehebatan pemain muda Indonesia, Jeffer Rosobin dalam pertarungan sengit selama 80 minit.

Rashid, 31, menang set pertama 15-10 tetapi Rosobin bangkit memberikan tentangan sengit untuk mengecewakan pemain Nusa Mahsuri itu dalam dua set berikutnya dengan 12-15 dan 15-10.

Begitupun, laluan getir menanti Rosobin dalam perlawanan akhir apabila dijadualkan bertemu pemain nombor satu dunia, Christensen yang menempah tiket ke akhir selepas mengalahkan seorang lagi pemain negara, Yong Hock Kin 15-10, 15-12.

Hock Kin nyata bukan lawan Christensen yang banyak pengalaman di samping mempunyai corak permainan mantap terutama pukulan kencang untuk mematikan langkah lawan.

Dalam pada itu, pertemuan akhir perseorangan wanita bakal menyaksikan cabaran dua jaguh China yang menewaskan pencabar masing-masing pada separuh akhir.

Zhang Ning terpaksa berhempas pulas untuk mencatat kemenangan ke atas Carmila Martin (Denmark) 8-11, 11-3, 11-8.

Kejayaan itu membolehkan dia bertemu rakan senegaranya, Dai Yun yang mengetepikan seorang lagi pemain China, Zhou Ni menerusi kemenangan straight set 12-10, 11-9.

Dalam acara beregu campuran, Michael Sogaard/Rikke Olsen dari Denmark menewaskan pasangan Korea Selatan, Ha Tae Kwon/Chung Jae Hae 15-1, 12-15, 15-11.

Kemenangan Sogaard/Olsen mempertemukan mereka dengan pasangan Trikus Heryanto/Minarti Timur dari Indonesia) pada perlawanan akhir.

Beregu Indonesia itu mencipta kemenangan 15- 17, 15-2, 15-11 ke atas Simon Archer/Joaane Goode dari England.

Sementara itu, pasangan Marlene Thomsen/Rikke Olsen menang 15- 8, 15-10 selepas melenyapkan impian pasangan China Yang Wei/Huang Nanyang dalam acara beregu wanita.

KEPUTUSAN (Separuh Akhir):
Lelaki perseorangan - Peter Gade Christensen (1) (DEN) kln Yong Hock Kin (4) (MAS) 15-10, 15-2; Jeffer Rosobin (INA) kln Rashid Sidek (6) (MAS) 10-15, 15-12, 15-10.

Wanita perseorangan - Zhang Ning (4) (CHN) kln Camila Martin (1) (DEN) 8-11, 11-3, 11-8; Dai Yun (2) (CHN) bt Zhou Mi (CHN) 12-10, 11-9.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4K2RhLMIU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan