Ahad, 4 September 2016

Frost anggap Rashid pengecut


 

ARKIB : 05/05/1998

TARIK DIRI ...Rashid menunggu lif ke pejabat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Taman Maluri setelah dipanggil untuk membincangkan keputusannya menarik diri daripada skuad Piala Thomas yang akan berlepas ke Hong Kong 14 Mei ini. - Gambar YUSMAN YUNUS.

PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen menganggap tindakan Rashid Sidek menarik diri selepas namanya tersenarai dalam skuad Piala Thomas yang akan berlepas ke Hong Kong, 14 Mei ini sebagai pengecut, SRY ANGRENI MOHD. ZET.

Frost yang kecewa dengan keputusan itu berkata, dia tidak dapat menerima tindakan yang dilakukan oleh Rashid setelah pelbagai usaha dibuat untuk memastikannya bersedia menyertai pertandingan yang akan berlangsung 16-24 Mei ini.

''Dia seorang pengecut. Dia telah mengaku kalah sebelum bertanding. Dia tidak mahu mencuba,'' katanya yang mengakui penyenaraian Rashid perlu sebagai strategi taktikal untuk mengelirukan pihak lawan.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat bersama Pengurus Pasukan, Datuk Mohammed Al-Amin Majid, Pengurus Besar BAM, Phua Tai Neng, jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek dan Rashid sendiri bagi menjelaskan perkara tersebut.

''Saya kecewa dengan keputusan ini. Saya tidak mahu dikaitkan lagi dengan Rashid. Saya tidak dapat menerima tindakan yang dilakukannya ini.

''Kami telah melakukan pelbagai cara termasuk menyediakan satu program pemulihan khas untuk memastikannya benar-benar pulih dan dapat beraksi di Hong Kong.

''Tiga minggu lalu ketika memulakan latihan bersama dia kelihatan belum bersedia tetapi 14 hari lalu dia telah memaklumkan bahawa dia sudah bersedia.

''Malah ketika saya tanya dia selalu katakan dia sudah bersedia,'' katanya yang hairan dengan tindakan Rashid menarik diri setelah namanya tersenarai dalam skuad Piala Thomas yang diumumkan minggu lalu.

Seramai 10 pemain terdiri daripada lima pemain perseorangan termasuk dua pemain simpanan dan lima pemain beregu disenaraikan untuk membawa cabaran negara ke kejohanan berprestij itu.

Frost berkata, keputusan Rashid itu nyata tidak menghormati segala usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membolehkannya pergi ke Hong Kong.

Menjelaskan perkara yang berlaku, beliau berkata, dia menerima surat daripada Rashid setelah jawatankuasa pemilihan yang turut disertai Misbun membuat keputusan senarai pemain ke pertandingan itu.

Menurut Frost, ketika para pemain keluar daripada bilik mesyuarat selepas pemilihan itu, Rashid menghulurkan sekeping kertas kepadanya.

''Ketika itu juga para wartawan telah memasuki bilik itu untuk sidang akhbar.

''Saya tidak membaca surat itu kerana sidang akhbar telah bermula dan hanya mengetahui hasrat Rashid selepas pengumuman dibuat,'' kataya yang ketika itu terus menghubungi Misbun untuk membincangkan perkara itu.

Beliau menambah, ujian kecergasan oleh doktor daripada Majlis Sukan Malaysia (MSN) turut mengesahkan Rashid telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami.

''Saya telah menghubungi semula doktor MSN (Dr. Ramlan Aziz) pagi tadi (semalam) bagi memastikan keadaannya dan mereka telah mengesahkan dia sudah pulih,'' ujarnya.

Rashid dalam laporan akhbar baru-baru ini menggunakan kecederaan hamstrig yang ditanggungnya sejak awal tahun lalu serta tahap prestasi yang masih kurang sebagai alasan menarik diri.

Sementara itu Al-Amin memaklumkan BAM tidak akan memilih pemain lain sebagai pengganti kerana telah menyenaraikan dua pemain simpanan dalam kategori perseorangan.

''Roslin (Hashim) dan Choon Hann (Wong) sudah memadai untuk mengisi tempat Rashid,'' katanya yang memaklumkan bahawa mereka menerima keputusan Rashid itu.

Menurut Frost, pemilihan pemain lain tidak membawa makna kerana mereka masih terlalu mentah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JH8ensE5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan