Khamis, 15 September 2016

Ujian mudah buat Malaysia

ARKIB : 09/09/1998
MALAYSIA akan turun bertemu Jamaica bagi pasukan lelaki dan Mauritius bagi pemain wanitanya, dua nama yang boleh dianggap underdog dalam arena badminton antarabangsa pada perlawanan pertama acara berpasukan peringkat kumpulan Sukan Komanwel XVI (KL 98) di Stadium Badminton Kuala Lumpur (SBKL) hari ini, lapor SRY ANGRENI MOHD ZET.

Sebagai pasukan pilihan utama, skuad lelaki negara yang disandarkan harapan meraih sekurang-kurangnya tiga pingat emas, pertemuan dengan Jamaica seharusnya mencipta kemenangan besar dalam masa yang singkat.

Malah bagi pemain Jamaica, nama Malaysia itu sendiri sudah menggerunkan, apatah lagi untuk bertemu pada perlawanan pertama yang disifatkan begitu penting bagi menaikkan semangat meneruskan cabaran seterusnya.

Pengurus dan jurulatih Jamaica, Dr. Kingsley Ford mengakui sekiranya ada pilihan, Malaysia merupakan pasukan terakhir yang ingin mereka temui.

''Pertemuan dengan Malaysia merupakan berita buruk untuk kami. Kalau ada pilihan, kami mahu bertemu mereka pada perlawanan terakhir,'' katanya yang mempamerkan mimik muka sedih apabila ditanya mengenai perlawanan pertama mereka hari ini.

Menurut Dr. Ford, mereka hanya berpeluang bertemu pemain negara pada Sukan Komanwel yang diadakan empat tahun sekali dan pada setiap perlawanan, Malaysia akan mendapat kemenangan besar.

Harapan kini diletakkan di bahu pemain beregu mereka, gandingan Robert Richards-Roy Paul dan Andre Stewart-Charles Pyne untuk membuat kejutan.

''Kalau kami dapat melambatkan usaha Malaysia untuk menang, itu merupakan satu peningkatan,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan mahu pemain negara mencatatkan kemenangan dalam masa yang paling singkat pada pertemuan itu.

Menurutnya, kemenangan pemain negara sudah pasti, yang tinggal kini hanyalah jangkamasa yang diambil untuk memenangi perlawanan itu.

''Mereka seharusnya mendapat kemenangan besar dan kemenangan ini perlu diperolehi dalam masa yang singkat,'' katanya yang dihubungi, semalam.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4KJy076RL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan