Sabtu, 3 September 2016

Roslin, Choon Hann terpilih


 

ARKIB : 01/05/1998
Roslin, Choon Hann terpilih
GIGIH... Pemain perseorangan negara, Ong Ewe Hock (depan) bersama Wong Choon Hann gigih berlatih di Kompleks Sukan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, semalam menjelang pusingan akhir Badminton Piala Thomas di Hong Kong, bulan ini. - Gambar AZMAN GHANI.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sekali lagi membuat kejutan dalam pemilihan pemain ke pusingan akhir Piala Thomas di Hong Kong pertengahan bulan ini apabila menyenaraikan lima pemain perseorangan dan lima pemain beregu.

Roslin Hashim dan Wong Choon Hann yang dikatakan terpaksa bersaing untuk merebut satu tempat sebagai pemain simpanan akhirnya terpilih dalam senarai yang diumumkan semalam.

Mereka kini mengisi bangku pemain simpanan untuk berganding bersama-sama Ong Ewe Hock, Yong Hock Kin dan Rashid Sidek yang telah disahkan sebagai pemain perseorangan utama.

Sebelum itu, BAM pernah melakukan kejutan dalam penyenaraian pemain ke pusingan kelayakan Piala Thomas di Manila Februari lalu dengan menurunkan pasangan muda Jeremy Gan-Chan Chong Ming.

Sementara itu, gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock diletakkan sebagai beregu utama bersama-sama Choon Tan Fook-Lee Wan Wah yang berjaya meningkatkan prestasi mereka bagi mendapat kepercayaan untuk mengisi tempat pemain kedua.

Pasangan beregu itu telah digugurkan daripada beraksi pada pusingan kelayakan di Manila Februari lalu setelah gagal mempamerkan prestasi memuaskan.

Tan Kim Her diletakkan sebagai pemain simpanan beregu tetapi pasangannya Rosman Razak yang dikatakan cedera tidak disenaraikan.

Presiden BAM, Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan yang mempengerusikan mesyuarat pemilihan itu berkata, senarai yang dikeluarkan merupakan yang terbaik berdasarkan beberapa kriteria termasuk pengalaman, qualiti dan merit.

''Pemilihan ini dibuat berdasarkan kriteria yang diperhatikan semasa latihan dan pertandingan. Saya yakin ini merupakan senarai terbaik yang boleh dipertaruhkan pada kejohanan Piala Thomas kali ini,'' katanya.

Mesyuarat yang berlangsung hampir satu jam setengah itu turut dihadiri Pengarah Kejurulatihan, Morten Frost Hansen, jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek, Pengurus Besar, Phua Tai Neng, Setiausaha Kehormat, Datuk Mohamed Al-Amin Majid dan beberapa jurulatih lain.

Menurut Dr. Fadzil, Choon Hann merupakan pemilihan yang baik kerana dia berupaya menyesuaikan diri sebagai pemain perseorangan mahupun pemain beregu.

Kenyataan itu mendapat sokongan Frost yang berpendapat penekanan harus diberi kepada barisan pemain perseorangan.

Menurutnya, sekiranya berlaku sesuatu ke atas Rashid, masih ada dua pemain yang dapat diturunkan bagi meneruskan cabaran.

''Keputusan meletakkan dua pemain simpanan dalam acara perseorangan juga memaksa kami mencari pemain yang mampu beraksi dalam kedua-dua acara perseorangan dan beregu. Berdasarkan alasan itu, Choon Hann merupakan pilihan terbaik,'' ujarnya.

Tambahnya, barisan pemain perseorangan diutamakan kerana terdapat perbezaan yang ketara di antara beregu utama yang diletakkan sandaran yang tinggi untuk mengutip mata dengan beregu kedua.

''Beregu kedua (Tan Fook-Wan Wah) masih kurang pengalaman untuk beraksi pada Piala Thomas ini. Mereka mungkin akan bersedia dalam masa dua tahun lagi,'' jelasnya yang gembira kerana semua pemain yang tidak terpilih masih mahu menjalani latihan bersama skuad Piala Thomas sebagai tanda sokongan.

Dalam perkembangan lain, mesyuarat yang turut membincangkan isu pengurangan pemain dalam usaha mengurangkan kos dijangka mengemukakan cadangan mereka Isnin ini.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JCtKXLiL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan