Selasa, 13 September 2016

Roslin terima tawaran

ARKIB : 05/08/1998
 
Roslin Hashim (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Morten Frost Hansen pada hari pertama latihan pusat menjelang Sukan Komanwel di Akademi Badminton Malaysia, Taman Maluri, Kuala Lumpur semalam.

PEMAIN Nusa Mahsuri, Roslin Hashim sah menerima tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan menyertai skuad Sukan Komanwel apabila dia mendaftarkan diri dalam sesi pertama latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia, Taman Maluri, semalam.

Roslin, 23, bersama 15 pemain lain yang turut disenaraikan menandatangai perjanjian penerimaan tawaran itu pagi semalam selepas mendengar taklimat daripada Pengarah Kejurulatihan BAM, Morten Frost Hansen mengenai latihan menjelang Sukan Komanwel 11-21 September ini.

Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Mohammed Al-Amin Majid mengesahkan kehadiran kesemua pemain itu yang turut mendapat pendahuluan RM200 sebagai elaun latihan bagi 10 hari pertama.

''Setiap pemain telah menandatangani perjanjian mengenai syarat-syarat berkaitan yang perlu dipatuhi.

''Mereka juga telah diberi maklumat mengenai program latihan serta kemudahan makanan dan tempat tinggal, elaun latihan serta penyertaan mereka ke Terbuka Singapura yang akan dibiayai sepenuhkan oleh BAM,'' katanya selepas mengadakan perbincangan empat mata selama hampir dua jam dengan Roslin.

Menurut Al-Amin, setiap pemain akan menerima RM20 bagi setiap hari latihan di samping RM500 sebulan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

MSN di bawah program Jaya '98 juga akan membayar elaun makan dan tempat tinggal yang membolehkan pemain mendapat kira-kira RM1,500 sebulan.

Pemain juga akan mendapat kemudahan perubatan daripada klinik panel BAM yang dibiayai sepenuhnya oleh badan induk itu.

Mengenai pakaian pemain, Al-Amin menjelaskan bahawa BAM boleh bertolak ansur mengenai perkara itu tetapi menegaskan agar mereka mementingkan semangat berpasukan yang tinggi menjelang temasya itu.

Pada Sukan Komanwel nanti, acara badmnton bermula dua hari lebih awal dari tarikh sebenar temasya itu iaitu pada 11 September.

Semua pemain badminton yang terpilih akan menyertai kem nasional anjuran MSN 26-31 Ogos ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4KD6P5ESR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan