Isnin, 12 September 2016

Rashid menang mudah, Roslin bertarung sengit


 

ARKIB : 02/07/1998
Rashid menang mudah, Roslin bertarung sengit
SERIUS ... Jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek memberi arahan kepada Roslin Hashim sambil diperhatikan oleh Rashid Sidek pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang berlangsung di Pulau Pinang, semalam.

SENTUHAN Rashid Sidek masih berbisa untuk kembali mencuri tumpuan selepas berjaya melepasi halangan pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Proton-Eon 1998 di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), di Pulau Pinang, semalam.

Rashid, 31, yang kali pertama beraksi selepas menarik diri daripada skuad Piala Thomas mudah menewaskan lawannya kurang dikenali Bobby Milroy (Kanada) 15-8,15-3 dengan mengambil masa cuma 25 minit.

Walaupun menghadapi lawan tidak terkenal, Rashid sekurang-kurangnya membuktikan kemenangannya dalam pusingan pertama itu sudah cukup untuk merisaukan pencabarnya selepas soal kecergasannya diragui disebabkan berehat agak lama.

Bagaimanapun, cabaran seterusnya memeritkan bagi Rashid kerana terpaksa berdepan dengan juara remaja Asia 1997 dari Indonesia, Taufik Hidayat yang menantinya dalam pusingan kedua selepas menewaskan pemain Jepun, Tadashi Ohtsuka 17-18, 15-5, 17-15.

Sementara itu, ketiadaan pasangan tetap Yap Kim Hock yang mengalami kecederaan tidak menghalang Cheah Soon Kit untuk berganding mantap dengan pasangan barunya, Yap Wee Meng bagi mengetepikan cabaran pasangan Scotland, K. Middlemiss dan R. Hogg sekalipun terpaksa bermain dalam rubber-set sebelum menang 15-6, 7-15, 15-13.

Semalam, cabaran sebenar belum bermula tetapi lain-lain pemain perseorangan lelaki negara menepati ramalan untuk mencipta kejayaan awal.

Walaupun Roslin Hashim dipaksa bertarung rubber-set sebelum menang 15-4, 10-15, 15-7 ke atas peserta remaja Indonesia, George Rimarodi, pemain muda negara itu turut melangkah ke pusingan kedua.

Roslin mengambil masa lebih 40 minit sebelum mengalahkan George untuk melangkah ke pusingan kedua bertemu pemain China, Xia Xuanze yang menewaskan Stuart Brehaut (Australia) 15-2, 15-8.

Rakan senegaranya, Yong Hock Kin pula berbeza, bukan sahaja menepati ramalan malah mencipta kemenangan mudah apabila mengatasi peserta kurang ternama dari China, Zhu Feng 15-1, 15-1 dalam msa 26 minit.

Seorang lagi peserta negara yang menjadi tumpuan, Ismail Samad juga berjaya melepasi halangan pusingan pertama dengan menewaskan pemain Korea Selatan, Hwang Sun Ho 15-10, 15-10.

Dengan kemenangan tersebut, Hock Kin dijangka merentas laluan laluan mudah pusingan kedua apabila bertemu pemain dari Indonesia, Yudi Suprayogi yang menewaskan 11-15, 15-9, 15-3.

Ismail juga dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk menentang Fumhika Michida (Jepun) yang memenangi pusingan pertama dengan menewaskan Stuart Arthur (Kanada) 18-16, 15- 10.

Selain peserta Malaysia, pemain pilihan pertama, Peter Gade Christensen (Denmark) juga dipaksa berhempas pulas sekalipun menghadapi lawan tidak terkenal, Boonsak Polsana (Thailand) sebelum menang 13-15, 15-13, 15-7 dengan mengambil masa lebih satu jam.

Turut melangkah ke pusingan kedua, pemain pilihan kelapan, Fung Permadi (Taiwan) yang hanya mengambil masa 33 minit untuk mengalahkan Anupap Thraratsakul 15-8, 15-7.

Kejohanan menawarkan hadiah RM480,000 itu menyaksikan China yang menyandarkan harapan tinggi dalam acara perseorangan lelaki turut menjanjikan saingan sengit apabila Chen Hong menumpaskan pemain Malaysia Yeoh Kai Bin 15-9, 15-8.

Kejayaan Malaysia turut diukir pemain yang lama menyepi, Wong Ewe Mun menerusi kemenangan 18-14, 15-5 ke atas John Leung (Wales).

Di sebalik kemenangan besar negara, agak menyedihkan kerana acara perseorangan wanita hanya menyaksikan seorang daripada 11 pemainnya melangkah ke pusingan kedua.

Satu-satunya wakil Malaysia itu ialah Law Pei Pei yang mengambil masa 30 minit untuk menewaskan Michaels Smith (Australia) 11-2, 11-2.

Begitu juga acara beregu wanita yang menyaksikan pasangan Malaysia, I. Boopathy/Wong Sze Mei tewas 10-15,10-15 kepada M. Smith/Smith Wilson (Australia) manakala satu lagi negara, Chin Bei Hui/Wong Siew Hong menarik diri untuk memberi kemenangan kepada Ekmongkoipaisarn/S. Thunthongkam.

Namun, acara beregu campuran mencatat pencapaian awal agak memberangsangkan buat dua pasangan negara, Chan Chong Meng/J. Quay dan Chew Choon Eng/Lim Pek Siah.

Pasangan Chong Meng/Quay menewaskan Lin Wei-Hsiang/Chen Mei-Jun (Taiwan) 18-15, 15-17, 18-16 dalam pertarungan sengit selama 65 minit.

Choon Eng/Pek Siah pula lebih bernasib baik apabila lawan R. Blair/F. Sneddon menarik diri untuk memberikan kemanangan kepada pasangan Malaysia.

Oleh: ZAIN'UL AZHAR AS'HARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4K2IRPLo4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan