Selasa, 13 September 2016

Kuasa kini di tangan Frost? -- Tindakan jurulatih itu hanya akan mengeruhkan lagi suasana - Misbun


 

ARKIB : 30/07/1998
Kuasa kini di tangan Frost? -- Tindakan jurulatih itu hanya akan mengeruhkan lagi suasana - Misbun
GIGIH BERLATIH... Pemain beregu negara, Cheah Soon Kit berlatih dengan serius sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Komanwel, September ini di Akademi Badminton Cheras, semalam.

KETUA jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost tidak layak bercakap bagi pihak pertubuhan itu kerana dia digaji untuk melatih skuad negara, kata Misbun Sidek.

Tindakan Frost mengeluarkan surat penggantungan tanpa tandatangannya kepada pemain-pemain Nusa Mahsuri itu dikhuatiri hanya akan mengeruhkan lagi suasana.

''Jika pemain sahaja yang digantung, kita memang boleh terima... tapi jika jurulatih turut digantung, itu memang luar biasa,'' ujarnya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Ketika ditanya sama ada pemain-pemain Nusa Mahsuri akan menghadiri latihan atau tidak, beliau berkata: ''Dah kena gantung, buat apa nak datang lagi?''

Misbun juga mengakui sebelum itu Nusa Mahsuri telah menerima surat daripada Frost yang mengarahkan pemain-pemain kelab itu menghadiri latihan pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, pihak Nusa Mahsuri telahpun menghantar surat balasan yang memaklumkan pemain-pemain mereka tidak akan menghadiri latihan sekiranya tiada elaun yang diberikan.

Misbun turut kesal atas tindakan Frost itu yang pada pendapatnya bertindak di luar bidang kuasa yang dimiliki.

Tambah beliau, sepatutnya hanya presiden, pengurus besar atau setiausaha persatuan sahaja yang berhak dan boleh mengeluarkan sebarang komen kepada mana-mana pihak terutama dalam keadaan seperti sekarang.

Secara peribadi, beliau bagi pihak Nusa Mahsuri merasakan isu ini tidak harus menjadi persoalan besar kerana punca utama masalah ini hanya berpunca daripada tuntutan elaun oleh pihaknya.

''Tuntutan elaun ini sebenarnya perkara biasa, sudah cukup wajar bagi pemain-pemain kami yang tidak mendapat sesen pun dibayar elaun.

''Sekarang soal elaun sudahpun selesai dan kami dah bersedia untuk kembali semula menjalani latihan, tapi tiba-tiba kami dapat surat penggantungan,'' katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa Nusa Mahsuri tidak akan merayu kepada BAM untuk membenarkan pemain-pemainnya kembali berlatih kerana ia seperti hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

''Kami sekarang menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh BAM kerana kuasa di tangan Frost, kami tak boleh berbuat apa-apa.''.

Dalam pada itu, pemain Nusa Mahsuri, Roslin Hashim tetap mengharapkan peluang beraksi buat pertama kali pada temasya Kuala Lumpur itu.

''Apa yang saya perjuangkan ialah untuk negara, malah saya beraksi pada Piala Thomas di Hong Kong juga untuk negara. Keputusan BAM ini amat mengecewakan saya,'' katanya.

Rashid Sidek turut melahirkan rasa kecewanya dengan tindakan itu yang disifatkan menggugat peluangnya mencipta hat trick dalam usaha meraih pingat emas perseorangan ketiga pada Sukan Komanwel.

Sukan Utusan difahamkan, kedua-dua pihak _ Nusa Mahsuri dan wakil BAM telah menemui Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam, tetapi masih gagal mencapai kata putus untuk menyelesaikan kemelut itu

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4KBkSrgQP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan