Selasa, 6 September 2016

Turun tanpa tekanan -- Semua pemain digalak 'bergembira' pada perlawanan - Frost

ARKIB : 24/05/1998
Turun tanpa tekanan -- Semua pemain digalak 'bergembira' pada perlawanan - Frost
MALAYSIA mempunyai peluang yang sama dengan juara bertahan, Indonesia untuk memenangi perlawanan akhir badminton Piala Thomas di Stadium Tetutup Hong Kong, malam ini.

Dengan status sebagai pasukan underdog, pemain negara mempunyai sedikit kelebihan beraksi dalam keadaan kurang tertekan berbanding Indonesia yang turun sebagai juara bertahan.

Malah Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen menggalakkan pemainnya 'bergembira' pada perlawanan itu kerana mereka telah mencapai satu tahap yang sukar diperoleh oleh pemain daripada negara lain.

''Saya mahu mereka 'bergembira' dan tidak terlalu tertekan pada perlawanan akhir ini kerana mereka telah mencapai tahap yang jarang diperolehi oleh kebanyakan pasukan negara lain.

''Apa yang penting sekarang adalah mempamerkan prestasi terbaik dan semangat berpasukan yang tinggi pada setiap perlawanan esok (hari ini),'' katanya yang ditemui ketika menghadiri majlis makan tengahari di Hong Kong, semalam.

Frost yang mengakui pasukan lawan, Indonesia mempunyai barisan pemain yang kuat tetapi yakin pemainnya masih belum mencapai kemuncak kemampuan mereka walaupun setelah perlawanan sengit menentang Denmark kelmarin.

Semua pemain negara mengadakan latihan ringan di Kompleks Sukan Telekom Hong Kong semalam bagi memastikan tahap prestasi mereka tidak menurun.

Berdasarkan latihan itu, Frost dijangka mengandingkan semula Cheah Soon Kit dengan Yap Kim Hock sebagai beregu pertama yang akan bertemu gandingan Ricky Subagja-Rexy Mainaky sementara Choon Tan Fook-Lee Wan Wah sebagai pasangan kedua untuk Chandra Wijaya-Sigit Budiarto.

''Mereka (Indonesia) memang mempunyai barisan pemain beregu yang kuat yang menjadi pertaruhan utama mereka memenangi perlawanan ini,'' katanya.

Di atas kertas, Malaysia mempunyai kelebihan dalam acara perseorangan berdasarkan prestasi dan rekod pertemuan Ong Ewe Hock, Yong Hock Kin dan Roslin Hashim yang dijangka diturunkan.

Indonesia juga semakin bimbang dengan kemampuan pemain perseorangannya termasuk Heryanto Arbi yang masih belum pulih daripada kecederaan, Indra Wijaya yang gagal mempamerkan prestasi yang memuaskan dan Joko Suprianto yang hanya sekali diturunkan sejak kejohanan bermula 16 Mei lalu.

Pada pertemuan dengan China, kelmarin, hanya Hendrawan yang diturunkan sebagai perseorangan kedua berjaya mengutip mata untuk Indonesia setelah menewaskan Luo Yigang 15-9, 15-4.

Dan berdasarkan pertemuan pertama dengan Malaysia pada perlawanan peringkat kumpulan, Hendrawan merupakan sasaran utama Indonesia untuk mendapatkan mata daripada acara perseorangan.

Di pihak Malaysia, harapan diletakkan kepada Ewe Hock dan Roslin yang dijangka diletakkan sebagai perseorangan pertama dan ketiga.


MORTEN FROST HANSEN -''Jangan terlalu memikirkan untuk menang, gunakan peluang beraksi di perlawanan akhir ini dengan baik dan bergembira.''

ONG EWE HOCK - ''Saya perlu berusaha untuk mendapat kemenangan pada pertemuan ini kerana ia akan menaikkan semangat rakan-rakan lain.''

YONG HOCK KIN - ''Saya ini melakukan yang terbaik di sini dan mahu menyumbangkan mata untuk pasukan kami.''

ROSLIN HASHIM - ''Saya sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai perseorangan ketiga. Kedudukan itu genting kerana ia boleh menjadi pemain penentu ketika kedudukan terikat 2-2.

CHEAH SOON KIT (Ketua Pasukan) - ''Ia akan menjadi persaingan sengit tetapi kami masih mempunyai peluang untuk menewaskan Indonesia. Dia bergantung kepada prestasi dan keadaan pemain pada hari perlawanan itu.

YAP KIM HOCK - ''Saya akan berusaha untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik berbanding perlawanan awal sebelum ini. Sebelum ini prestasi saya kurang memuaskan kerana kurang latihan akibat kecederaan bahu kira yang masih terasa. Saya tidak mahu mengecewakan harapan negara kali ini. - Utusan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JTQBwUgI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan