Ahad, 11 September 2016

China jinakkan remaja Malaysia

ARKIB : 18/06/1998
China jinakkan remaja Malaysia
MALAYSIA terpaksa akur dengan kehebatan juara bertahan, China apabila tewas 2-3 pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia Kedua yang berlangsung selama empat setengah jam di Stadium Badminton Kuala Lumpur, petang semalam.

China memperolehi mata kemenangan melalui pemain perseorangan ketiga, Xioa Li yang menumpaskan Allan Tai 15-9 dan 15-8 setelah kedudukan terikat 2-2.

Terdahulu China membuktikan penguasaannya dalam arena badminton Asia apabila pasukan wanitanya menang bergaya ke atas Korea Selatan 5-0.

Malaysia yang mengecewakan Indonesia pada peringkat suku akhir kelmarin, memulakan perlawanan dengan garang apabila perseorangan pertamanya, Yeoh Kay Bin menewaskan Zhang Yi, 15-13 dan 15-6 dalam pertarungan sengit selama 40 minit.

Skuad remaja negara meneruskan penguasaan awal apabila mengutip mata keduanya melalui beregu pertamanya, Chan Chong Ming-Charles Khoo yang menewaskan Zhang Yang-Chen Yu 12-15, 15-8 dan 15-5.

Keghairahan Malaysia untuk mengutip mata ketiga terhenti apabila Ong Huck Lee yang mempamerkan permainan mengecewakan tumpas 15-4, 15-7 kepada Cai Yun yang mengutip mata pertama China.

Semangat pemain China terus membara dan mereka berjaya menyamakan kedudukan melalui beregu keduanya, Zhang Yi-Jiang Shan yang menewaskan Tan Wei Meng-Teo Kok Seng, 15-9 dan 15-11.

Pasangan China menunjukkan permainan baik dengan pukulan kencang memaksa pasangan Malaysia lebih banyak bertahan dan akhirnya menang selesa pada set pertama.

Pasangan negara cuba bangkit pada set kedua mengikat pasangan China pada kedudukan 5-5 akhirnya sebelum ketinggalan 11-7, 14-11 dan mengakhiri perlawanan dengan kekalahan 15-11.

Dalam satu lagi perlawanan pasukan perempuan China berjaya mengekalkan mahkota kejuaraan apabila menumpaskan Korea Selatan 5-0 dalam masa 2 jam 16 minit.

China memulakan penguasaan melalui perseorangan pertamanya, Gong Ruina yang hanya memerlukan masa 27 minit untuk menewaskan, Lee Hyo Jung 11-8 dan 11-5.

Mereka terus mara dan memperolehi mata kedua menerusi Hu Ting menundukkan Jun Jae Yong 11-6 dan 13 10 sebelum memperolehi mata kemenangan yang disumbangkan oleh pasangan Gong Ruina-Huang Sui yang mengalahkan Lee Hyo Jung-Jun Woul Sihk 15-4, 9-15 dan 15-10 selepas diberi tentangan sengit.

China memperolehi mata keempat melalui beregu keduanya, Xie Xing Fang-Dong Fang yang mengalahkan pasangan Lee Ji Sun-Lee Joon Boon 15-3 dan 15-2 dan menyempurnakan kemenangan dengan mata kelima China daripada Yong Yi yang hanya memerlukan 16 minit untuk menang 11-1, 11-2.Oleh: LAWRENCE QUEK

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Jwt2RyOp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan