Ahad, 4 September 2016

Misbun kurang senang sikap Morten Frost


 

ARKIB : 08/05/1998
Misbun kurang senang sikap Morten Frost
MISBUN

JURULATIH kelab badminton profesional Nusa Mahsuri, Misbun Sidek menyelar kelancangan mulut Morten Forst Hansen yang menganggap adiknya pengecut dan tidak bersemangat patriotik ketika menyatakan penarikan diri daripada skuad Piala Thomas negara, minggu lalu, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Misbun juga mempertikaikan hak Frost untuk bersikap seperti 'diktator' apabila memberikan tekanan berterusan terhadap adiknya itu supaya mendapatkan satu mata menerusi acara perseorangan tanpa mengira walau dengan apa cara sekalipun.

''Apa haknya untuk menekan Rashid sebegitu sekali sedangkan adik saya di bawah naungan sebuah kelab yang profesional, Nusa Mahsuri dan saya sendiri yang sering membimbingnya.

''Mengapa mesti dia berbuat begitu? Ini seolah-olah menggambarkan dia sendiri kurang pasti sama ada pemain di bawah bimbingannya seperti Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin mampu menyumbangkan mata daripada acara perseorangan,'' kata Misbun lagi.

Ujar bekas jaguh negara itu, Rashid menjelaskan kepadanya bahawa dia sudah tidak mampu lagi dibebankan dengan tekanan orang luar walaupun pelbagai cara sudah dicuba untuk mengatasinya ketika sesi latihan harian.

''Bayangkan jika dalam latihan pun, Rashid tewas dengan mudah kepada Roslin Hashim (seorang lagi pemain Nusa). Malah pukulan lawan semakin sukar dijangkau Rashid lagi kerana jiwanya terkongkong dengan sikap keras Frost itu.

Tambah Misbun, Rashid menyatakan pengunduran diri daripada skuad ke Hong Kong itu dengan cara profesional dan ada 'hitam putihnya' (surat rasmi).

''Tetapi bagaimana dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia)? Hingga hari ini (semalam), saya tidak nampak satu surat jawapan rasmi pun dihantar ke kelab Nusa yang mengesahkan pengguguran Rashid terus daripada skuad negara akibat keputusan penarikan dirinya itu.

''Nusa Mahsuri merupakan pertubuhan berdaftar. Kami juga ada protokol, penaung dan presiden. Apakah BAM boleh melayan kami dengan cara begini?'' bidas Misbun.

Misbun menegaskan, yang anehnya ialah Frost sendiri tidak pernah bersemuka dengannya untuk membincangkan soal Rashid itu sejak isu penarikan diri adiknya timbul, minggu lalu.

Harapan Nusa kini tergantung penuh kepada Roslin selaku perseorangan ketiga biarpun anak didik Misbun itu dijangka menghadapi pemain ternama pasukan lawan yang lebih tinggi kedudukan dalam Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).

''Saya sedar lawan Roslin nanti terdiri daripada Ahn Jae Chang, Joko Suprianto dan Dong Jiong yang memang diakui mempunyai kelebihan atas kertas (rekod pertemuan lalu).

''Namun Roslin sentiasa menghargai setiap sen orang ramai yang dipungut ketika mencari wang pampasan RM60,000 untuk melepaskan diri daripada kontrak BAM lalu.

''Mungkin itulah yang terus menjadi tunjang dan pembakar semangat perjuangannya apabila menggantikan tempat Rashid untuk menyumbangkan kejayaan buat skuad negara,'' jelas Misbun.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JHmQGcFb © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan