ARKIB : 23/05/1998
Usaha Misbun berhasil
USAHA Misbun Sidek melatih
Roslin Hashim sejak dua tahun lalu akhirnya membuahkan hasil apabila pemain
Kelantan berusia 23 tahun itu menjadi wira, mengutip mata kemenangan negara
pada perlawanan separuh akhir bertemu Denmark di Stadium Tertutup Queen
Elizabeth, semalam.
Pertemuan sengit yang
menyaksikan kedua-dua negara terikat 2-2 akhirnya menjadi milik Malaysia
setelah Roslin menewaskan pemain muda Denmark, Kenneth Jonassen 15-18, 15-5,
15-8 selepas bertarung selama 65 minit.
''Saya tahu Roslin boleh
memenangi pertemuan ini kerana dia sudah bersedia. Dia sudah sampai ke tahap
permainan yang tinggi dan pada peringkat ini, dia mampu membuat kejutan,''
katanya yang menjadi orang paling gembira dengan kemenangan itu.
Menurut Misbun, dia tidak
bimbang dengan permainan Roslin tetapi risau tentang tahap tumpuan pemain itu
dan kemampuannya mengawal perasaan takut dengan tanggungjawab berat yang
dipikulnya sebagai perseorangan ketiga.
''Saya tidak bimbang
permainannya tetapi bimbang dengan orangnya kerana dalam keadaan seperti tadi,
perasaan takut boleh mengatasi segala kemampuannya dan menyebabkan dia hilang
tumpuan.
''Sekiranya ini berlaku, dia
tidak mungkin boleh menang,'' ujarnya.
Roslin mendapat tunjuk-ajar
secara peribadi daripada Misbun selepas pemain itu meninggalkan Persatuan
Badminton Malaysia (BAM) akhir 1996.
Sementara itu, Roslin menerima
panggilan daripada penaung BAM, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohammad Ali sebaik
memenangi perlawanan tersebut.
Menurut Roslin, Dr. Siti Hasmah
yang menyaksikan perlawanan yang dipancarkan secara langsung oleh Radio
Television Malaysia (RTM) mengucapkan tahniah kepadanya dan semua pemain negara
yang membawa cabaran ke kejohanan Piala Thomas ke-20 itu.
''Dia (Dr. Siti Hasmah)
mengucapkan tahniah dan berharap semua pemain mempamerkan permainan yang lebih
baik di perlawanan akhir nanti,'' katanya.
Menjelaskan mengenai
pertemuannya, dengan Kenneth Jonassen itu, Roslin berkata, dia terasa agak
tertekan pada set pertama kerana hilang beberapa mata kepada pemain Denmark
itu.
Tetapi menurutnya, dia bangkit
pada set kedua untuk menang 15-5 bagi memaksa perlawanan diteruskan ke set
penentuan.
Menurut pemain yang mempunyai
kelebihan dari segi pertahanan, pada masa rehat selepas set kedua itu, Misbun
memberi arahan agar bermain dengan tenang dan menanti peluang untuk mematikan
lawan sebaik mungkin.
''Dia menasihatkan saya supaya
tidak kelam kabut ketika digelanggang dan menggunakan kelebihan saya bermain
rali untuk mematahkan pertahanan lawan,'' katanya yang mengakui permainan
ralinya menjadi sepanjang perlawanan itu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4JTNBsdHl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan