Isnin, 12 September 2016

Ong Ewe Hock diaib pemain muda

ARKIB : 04/07/1998
TAMPARAN hebat menimpa tonggak perseorangan utama negara, Ong Ewe Hock yang diaibkan pemain muda Indonesia kurang ternama, Jeffer Rosobin dalam perlawanan perseorangan lelaki pusingan ketiga Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Proton-EON 1998, di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), semalam.

Ewe Hock yang menjadi pemain pilihan kedua selepas Peter Gade Christensen (Denmark) dalam kejohanan tersebut tewas 15- 0, 10-15, 9-15 selepas bertarung selama sejam.

Bagaimanapun, ini adalah kali kedua Ewe Hock tewas selepas dia ditundukkan oleh Rosobin 15-7, 12-15, 12-15 dalam Kejohanan Terbuka Brunei juga bagi pusingan ketiga pada 1996.

Entah apa yang berlaku, setelah bermula dengan baik apabila mencipta kemenangan mudah 15-0 dalam set pertama, Ewe Hock ternyata gagal meneruskan penguasaan seterusnya, malah lawannya pula lebih bersemangat.

Ini menyaksikan Rosobin bangkit menewaskan Ewe Hock 15-10 dalam set kedua untuk membawa permainan ke ''rubber-set'' yang dimenangi 15-9 oleh pemain Indonesia itu.

Kekalahan Ewe Hock kepada Rosobin bukan sahaja mengejutkan peminat badminton tanah air, malah mengecewakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang meletakkan harapan tinggi ke atasnya dalam Sukan Komanwel '98.

Lenyap ramalan mengatakan Ewe Hock, juara Kejohanan Terbuka Malaysia 1996 ke perlawanan akhir kali ini tersingkir lebih awal.

Sementara itu, hajat pemain Malaysia, Ismail Saman juga tidak kesampaian untuk melakukan kejutan apabila tewas ''straight-set'' 6-15, 8-15 kepada pemain nombor satu dunia, Christensen.

Bagaimanapun, pemain kurang berpengalaman, Yap Yong Jyen melakukan pencapaian begitu baik apabila menewaskan pemain Indonesia, Nunung Subandoro 4-15, 15-6, 15-5.

Pencapaian tersebut begitu membanggakan bagi Yong Jyen sekalipun lawannya Nunung tidak terkenal tetapi pemain Indonesia itu melakukan kejutan apabila menewaskan jaguh China yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta, Don Jiong 15-10, 15-4 dalam pusingan kedua kelmarin.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4K2NEZ1Yu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan