Selasa, 6 Jun 2017

Badminton: Beng Hong, Choong Hann mara



ARKIB : 10/11/200

GUANGZHOU, China - Naib juara Asia, Kuan Beng Hong dan Wong Choong Hann meneruskan cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka China apabila mara ke pusingan ketiga di sini, semalam.

Beng Hong, pilihan ke-10 yang menjadi pertaruhan utama Malaysia pada kejohanan bernilai AS$250,000 itu dipaksa bekerja keras oleh pemain muda tuan rumah, Qi Yanbo sebelum menang 15-10, 7-15, 15-7.

Dia dijangka tidak menghadapi masalah untuk melangkah ke suku akhir esok apabila berdepan pemain tidak ternama Macau, Chan Io Chong di pusingan ketiga hari ini.

Choong Hann, 28, yang mengejutkan juara Olimpik dan dunia, Taufik Hidayat pada pusingan ketiga Terbuka Hong minggu lalu pula mudah mengalahkan Stanislav Pukhov dari Rusia 15-6, 15-8.

Pemain veteran negara dan pilihan kesembilan kejohanan itu kini akan bertemu jaguh Hong Kong, dan pilihan kelapan, Ng Wei pada pusingan ketiga. Ng Wei mara selepas menumpaskan Du Pengyu dari China 15-13, 15-4.

Cabaran dua lagi perseorangan negara, Pei Wei Chung dan James Chua bagaimanapun berakhir lebih awal.

Wei Chung tumpas kepada juara Asia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia 3-15, 10-15 manakala James tunduk 2-15, 10-15 kepada pemain nombor dua dunia, Kenneth Jonassen dari Denmark.

Turut tersingkie pada kejohanan enam bintang itu adalah juara remaja dunia, Hoon Thien How-Tan Boon Heong, yang memberikan tentangan terbaik sebelum kalah kepada juara Seluruh England dan Terbuka Hong Kong, Fu Haifeng-Cai Yun 15-5, 2-15, 8-15.

Turut tersingkir adalah pasangan muda Gan Taik Chai-Mohd. Zakry Latif yang tewas kepada satu lagi beregu tuan rumah, Sang Yang-Sun Junjie 15-5, 12-15, 2-15.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jDhk1BAC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan