Khamis, 8 Jun 2017

Choong Hann, Chong Wei tentukan juara



ARKIB : 15/12/2005

KOTA KINABALU - Dua pemain perseorangan negara, Wong Choong Hann dan Lee Chong Wei menepati ramalan awal apabila kedua-duanya disahkan bertemu dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Proton 2005 di sini.

Kedua-duanya berjaya menundukkan lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir semalam, dengan Choong Hann menang selesa ke atas Yeoh Kay Bin 15-10, 15-5 sementara Chong Wei pula terpaksa berhempas pulas dalam set penentuan sebelum menang ke atas Mohd. Roslin Hashim 15-17, 15-8, 15-2.

Perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas di sini, menyaksikan perlawanan set pertama antara Chong Wei dan Roslin mendebarkan apabila Roslin mengheret permainan kepada tiga tambahan mata setelah mendapat kiraan 14-14 sebelum menang dengan 17-15.

Bagaimanapun pemain perseorangan pertama negara, Chong Wei bangkit pada set kedua dengan lebih kerap melakukan pukulan kencang serta gerakan-gerakan yang lebih pantas sehingga menyebabkan Roslin hanya mampu bertahan.

Keadaan berterusan dalam set penentuan sehingga ia jelas milik Chong Wei dengan langsung tidak memberi ruang kepada Roslin dan terus meninggalkannya jauh, sehingga pada satu ketika lawannya itu pernah ketinggalan 0-13.

Chong Wei berkata, cabaran yang sebenar adalah pertemuannya dengan Choong Hann nanti bagi memburu kemenangan kali keempat selepas menentangnya pada Terbuka Hong Kong, baru-baru ini.

Sementara itu, pemain perseorangan negara, Julia Wong Pei Xian (BAM-MK) yang menang ke atas Lydia Cheah Li-Yah dijadualkan bertemu di peringkat akhir dengan Anita Raj Kaur (BAM-KL) yang menewaskan M.Sutheaswari (KL).

Beregu campuran pula adalah antara Mohd. Zakry Latif dan Chin Eei Hui (BAM-NS-PP) melawan Koo Kien Keat dan Wong Pei Tty ( BAM-PK).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jSQ2hbtS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan