Ahad, 25 Jun 2017

Choon Eng, Boon Heong jadi pilihan



ARKIB : 15/04/2006

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
Tan Boon Heong. 
KUALA LUMPUR - Skuad negara mencipta kejutan semalam apabila menyenaraikan pemain muda Tan Boon Heong sebagai pemain beregu ketiga untuk pusingan akhir Piala Thomas di Jepun hujung bulan ini.

Boon Heong, 19, akan berpasangan dengan Chew Choon Eng sebagai beregu ketiga negara untuk kejohanan pada 28 April - 7 Mei itu.

Chan Chong Ming-Koo Kien Keat merupakan pasangan pertama negara manakala gandingan veteran Choong Tan Fook-Lee Wan Wah sebagai beregu kedua.

Barisan pemain perseorangan pula terdiri daripada Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Muhammad Hafiz Hashim dan Kuan Beng Hong.

Pemilihan Boon Heong dianggap satu kejutan tetapi tidak bagi ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock.

``Boon Heong dipilih kerana prestasinya yang meningkat akhir-akhir ini termasuk muncul naib juara Kejohanan Asia (berpasangan dengan Hoon Tien How) di mana turut mengalahkan Chandra Wijaya-Sigit Budiarto (bekas juara dunia dari Indonesia),'' jelas Kim Hock dalam sidang akhbar semalam.

``Dia adalah pemain yang versatil... boleh berganding dengan sesiapa sahaja sama ada Tan Fook, Chong Ming, Kien Keat Boon Heong boleh menyesuaikan diri.

``Selain itu, dia pemain muda berbakat dan merupakan harapan masa depan kita. Dia memerlukan pendedahan di peringkat tinggi seperti mana yang biasa kita lakukan ke atas pemain-pemain lain,'' kata bekas pakar beregu itu.

Sebelum ini, pihak media meramalkan beregu pelapis, Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari-Lee Woon Fui atau Gan Teik Chai-Mohd. Zakry Latif akan dipilih sebagai pasangan ketiga selepas masing-masing mara ke perlawanan akhir dan separuh akhir Seluruh England awal tahun ini.

Maka, pemilihan Choon Eng selaku gandingan Boon Heong juga satu kejutan, walaupun pemain itu berpengalaman.

``Fairuzizuan-Woon Fooi, Teik Chai-Zakry merosot prestasi mereka akhir-akhir ini. Persaingan antara kumpulan pemain ini sangat sengit tetapi pada April ini dua lagi pasangan itu merosot apabila kalah kepada pemain tidak ternama,'' Kim Hock mempertahankan pilihannya.

Skuad negara ketika ini berlatih di Kuching, Sarawak dan akan berada di Jepun seminggu lebih awal untuk menyesuaikan diri.

Skuad negara meletakkan sasaran mara ke separuh akhir setelah terkandas di suku akhir pada kejohanan dua tahun lepas.

``Sudah tentu kami mahu menang kerana Piala Thomas besar maknanya kepada rakyat Malaysia tetapi sasaran separuh akhir adalah lebih rasional dan tidak akan menekan para pemain,'' kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Salleh.

SUMERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4l3vsJAzO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan