Ahad, 25 Jun 2017

Peluang 60-40



 
ARKIB : 05/05/2006
Ads by Kiosked
Peluang 60-40
Daripada: NORZIE MOHD KHASBI
WONG Choon Hann terpaksa pulang lebih awal selepas mengalami kecederaan urat tendon di belakang buku lali ketika beraksi pada suku akhir Piala Thomas menentang Korea Selatan, kelmarin. – BERNAMA.

TOKYO – Kecederaan ketua pasukan, Wong Choong Hann mencetus semangat juang luar biasa buat pemain-pemain negara yang turun dengan keyakinan tinggi untuk menundukkan Denmark pada perlawanan separuh akhir Piala Thomas di Tokyo Metropolitan Gymnasium, hari ini.

Malah, ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock meramalkan peluang Malaysia untuk menang adalah 60-40, satu ramalan yang cukup untuk menggambarkan keyakinan yang dimiliki setiap anggota pasukan negara, daripada pemain sehingga jurulatih.

Jika dilihat kepada rekod keseluruhan kedua-dua pasukan dalam kejohanan Piala Thomas, Malaysia memenangi lapan daripada 11 pertemuan dengan Denmark, bermula dari kejohanan 1948-49, yang mana pasukan negara yang ketika itu menggunakan nama Malaya menang 8-1 di Preston, England.

Begitupun, pertemuan terakhir Malaysia-Denmark berpihak kepada jaguh Eropah itu, yang mengaibkan pasukan negara 3-2 pada peringkat kumpulan di Kuala Lumpur, enam tahun lalu.

Hari ini, perhitungan awal negara, yang bakal disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia di tanah air bakal tertumpu kepada pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei dan pemain nombor tiga dunia, Peter Gade-Christensen, pertembungan paling menarik pada Piala Thomas 2006.

Jika Chong Wei turun selaku juara Asia, Gade-Christensen pula membawa reputasi sebagai juara Eropah, satu pertembungan yang menjanjikan aksi menarik dan mendebarkan.

“Keinginan tinggi pemain-pemain untuk menghadiahkan kemenangan buat ketua pasukan mereka telah memberi Malaysia kelebihan moral untuk menentang Denmark. Daripada segi kekuatan, keupayaan kedua-dua pasukan 50-50 tetapi daripada segi mentalti, saya percaya peluang kita untuk menang adalah 60-40,” kata Kim Hock.

Sementara itu pasangan senior, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah akan kembali bertemu musuh lama, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen dalam beregu pertama, perlawanan klasik yang telah berlangsung sejak kali pertama kedua-dua pasangan bertemu pada Terbuka Switzerland pada 2002. Seperti juga perlawanan Chong Wei-Christensen, pertembungan Tan Fook- Wan Wah dan Eriksen-Hansen merupakan pertembungan di antara juara Asia menentang juara Eropah.

Pasangan Denmark itu menang empat daripada enam pertemuan mereka dan kemenangan terbaru adalah pada perlawanan akhir di Seluruh England, Januari lalu.

Perlawanan perseorangan kedua juga amat menarik. Muhammad Hafiz Hashim akan berdepan Kenneth Jonassen. Jonassen, pemain nombor empat dunia menang tiga daripada empat perlawanan kedua-dua pemain, tetapi semuanya berlangsung dalam format 15 mata, menjadikan pertarungan hari ini amat terbuka.

Pertemuan yang paling mencuri tumpuan pastinya melihat aksi beregu muda sedang meningkat, Kien Keat-Boon Heong untuk berdepan cabaran beregu nombor empat dunia, Marthias Boe-Carsten Mogensen. Pasangan muda negara itu menumpaskan Eric Go-Ronald Sou 21-8, 21-7.

Andai kedudukan terikat 2-2. Muka baru Piala Thomas, Kuan Beng Hong memikul tugas menjadi penentu kemenangan Malaysia untuk berdepan Niels Christian Kaldau, pemain nombor 10 dunia.

Beng Hong menang dalam satu-satunya perlawanan antara kedua-dua pemain, pada Terbuka Jepun tahun lalu. Malaysia, pilihan kedua menumpaskan Korea Selatan 3-2 dalam perlawanan penuh dramatik kelmarin selepas muncul juara Kumpulan D manakala Denmark menempah tiket ke separuh akhir selepas menundukkan India 3-0.

– Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l5UqqjSY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan