Isnin, 5 Jun 2017

Chong Wei, beregu unggul -- Badminton Terbuka Denmark



ARKIB : 24/10/2005

BEREGU negara, Koo Kien Keat (kanan) dan Chan Chong Ming muncul juara beregu lelaki badminton Terbuka Denmark selepas menumpaskan pasangan tuan rumah, Lars Paaske-Jonas Rasmussen 15-6, 15-7 pada perlawanan akhir di Aarhus, Denmark, semalam.

DENMARK - Malaysia mencatat kemenangan berganda pada kejohanan badminton Terbuka Denmark di sini semalam apabila beregu lelaki, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat merangkul gelaran juara selepas Lee Chong Wei mengesahkan kemenangan dalam acara perseorangan.

Chong Ming-Kien Keat menumpaskan beregu handalan tuan rumah yang juga penyandang juara, Lars Paaske-Jonas Rasmussen dengan kemenangan agak mudah.

Pasangan negara, yang meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Anaheim Ogos lepas, menang straight set 15-6, 15-7 ke atas beregu juara dunia 2003 itu dalam masa hanya 37 minit.

Sebelum ke akhir, Chong Ming-Kien Keat juga mudah melangkah ke akhir selepas mengalahkan pasangan Jepun, Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto 15-7, 15-2 pada aksi separuh akhir.

Manakala beregu utama Denmark itu pula menewaskan pasangan senegara mereka, Mathias Boe-Carsten Mogensen 17-15, 1-15, 15-7.

Terdahulu, Chong Wei mengesahkan statusnya sebagai pemain nombor satu negara selepas meraih gelaran acara perseorangan dengan menumpaskan rakan senegara, Mohd. Hafiz Hashim pada perlawanan akhir.

Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, menang straight set 17-14, 15-8 ke atas Hafiz dalam masa 48 minit pada kejohanan yang menawarkan wang tunai RM646,000.

Keputusan itu bermakna Hafiz gagal memburu gelaran kelima dalam kejohanan bertaraf lima bintang tahun ini, selepas menang Terbuka Belanda minggu lepas.

Manakala kemenangan ke atas Hafiz pula mengukuhkan status Chong Wei sebagai pemain nombor satu negara.

Sebelum ke akhir, Chong Wei menumpaskan seorang lagi rakan senegara, Wong Choong Hann 17-4, 15-4 pada separuh akhir manakala Hafiz mengatasi pemain tuan rumah, Niels Christian Kaldau 15-5, 15-2.

Chong Wei dan Hafiz masing-masing menghadapi laluan getir di peringkat suku akhir dengan Hafiz berdepan dengan pemain meningkat naik dari India, Chetan Anand pada suku akhir.

Hafiz tewas 11-15 pada set pertama sebelum bangkit pada dua set berikutnya untuk menang 15-10, 15-9.

Chong Wei pula turut dipaksa bermain tiga set menentang pemain China, Chen Jin sebelum menang 15-13, 3-15, 15-13.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j9JOkCkl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan