Jumaat, 23 Jun 2017

Malaysia `pejam mata' atasi Fiji



ARKIB : 17/03/2006

MELBOURNE - Malaysia yang memenangi sembilan pingat di Manchester empat tahun lalu dalam acara badminton memulakan kempen pada temasya ini dengan kemenangan mudah 5-0 ke atas Fiji dalam aksi pertama acara berpasukan campuran.

Dalam aksi kumpulan A yang berlangsung di Melbourne Exhibition Centre semalam, pemain ranking ke-12 dunia, Wong Mew Choo tidak menghadapi masalah untuk menundukkan Karyn Whiteside 21-8, 21-2 .

Pemain harapan emas negara dalam acara perseorangan, Lee Chong Wei pula menang ke atas Burty Molia 21-12, 21-10.

Wong Pei Tty-Chin Eei Hui memastikan kemenangan Malaysia dengan mata ketiga apabila menundukkan Whiteside-Alissa Dean 21-3, 21-1.

Dua mata Malaysia berikutnya diperoleh menerusi gandingan Chan Chong Ming dan Koo Kien Keat yang menang 21-9, 21-8 ke atas Molia-Ryan Fong.

Sementara Wong Choong Hann dan Ooi Sock Ai mengalahkan pasangan Dean-Filval Molia 21-9, 21-6.

``Para pemain kelihatan terlalu berhati-hati. Mereka cuba bermain dengan cara yang selamat kerana takut kehilangan mata,'' kata Rexy Mainaky, jurulatih Malaysia yang berasal dari Indonesia dan pernah membimbing pasukan England sewaktu temasya di Manchester, empat tahun lalu.

Malaysia akan bertemu Ireland Utara hari ini sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Sri Lanka untuk aksi berikutnya di peringkat suku akhir.

Mereka kelihatan dapat menyesuaikan diri dengan sistem 21 mata ini,'' sambil berkata, Malaysia akan menurunkan pemain lain untuk pertemuan dengan Ireland Utara untuk membolehkan para pemain menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sebelum aksi individu.

- Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4koSr4SzH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan