Ahad, 25 Jun 2017

Buruan bermula -- Episod menamatkan kemarau 14 tahun



ARKIB : 28/04/2006
PEMAIN perseorangan utama negara, Lee Chong Wei (kiri) yang juga permain nombor dua dunia berlatih bersama jurulatihnya Li Mao di Aoba Gymnasium Sendai, Jepun, semalam. - Bernama.

SENDAI, Jepun - Impian untuk merampas semula kejuaraan sejak 14 tahun terus berlegar di fikiran setiap pemain Malaysia apabila memulakan kempen badminton Piala Thomas di Sendai hari ini, meskipun sasaran awal hanya untuk melayakkan diri ke separuh akhir.

Barisan pemain yang dihimpunkan oleh pasukan negara kali ini dianggap paling lengkap, mantap serta berkemampuan untuk kembali membawa pulang piala prestij itu, yang dimenangi buat kali terakhir di Kuala Lumpur pada 1992. Pemain nombor dua dunia dan juara Asia, Lee Chong Wei akan mengetuai cabaran perseorangan negara bersama pemain senior, Wong Choong Hann yang bertindak sebagai ketua pasukan, selain juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim dan naib juara Asia 2005, Kuan Beng Hong.

Pasangan senior dan juara Asia, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah serta juara Sukan Komanwel, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat akan memikul cabaran beregu lelaki, manakala Chew Choon Eng dan pemain remaja, Tan Boon Heong mengisi dua slot terakhir beregu di Jepun.

Penyandang juara, China, menjadi pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan, manakala Malaysia, yang turun sebagai pilihan kedua berada dalam senarai pasukan yang mampu merebut gelaran bersama Indonesia dan Denmark.

Ujian awal Malaysia di Sendai hari ini agak mudah, bertemu Amerika Syarikat sebelum menentang England dalam perlawanan kedua Kumpulan D, Ahad ini. Pasukan negara dijangka tidak menghadapi masalah untuk muncul juara kumpulan dan melayakkan diri pada saingan di Tokyo.

Cabaran terbesar yang mampu diberikan oleh Amerika hanyalah menerusi juara dunia, Tony Gunawan dan Howard Bach, manakala pemain yang lain termasuk perseorangan utama, Rai Raju bukan halangan utama buat Chong Wei. Di atas kertas dan berdasarkan rekod, Malaysia sepatutnya mampu mencatat kemenangan mudah ke atas Amerika, begitu juga dengan England, yang hanya menghantar skuad kedua termasuk ketiadaan beregu utama, Anthony Clark-Robert Blair yang menarik diri pada saat-saat akhir kerana kecederaan.

Sistem 21 mata yang diperkenalkan dalam Piala Thomas buat kali pertama, Denmark mendakwa mereka adalah pakarnya.

Namun, Malaysia juga tampak mantap dalam format tersebut dan berjaya mengadaptasikan sistem ini dengan baik di tiga kejohanan utama - kelayakan Piala Thomas di Jaipur, India (Februari), Sukan Komanwel di Melbourne (Mac) serta Kejohanan Asia bulan lalu.

Chong Wei menjadi pemain paling meyakinkan dengan muncul juara di Sukan Komanwel dan Asia, manakala Chong Ming-Kien Keat meraih pingat emas Komanwel dan Tan Fook-Wan Wah muncul juara Asia, menggunakan format 21 mata.

Jaminan

Jaminan yang diberikan oleh Chong Wei, bahawa dia kini pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang ketika menjalani latihan di Kuching, amat melegakan seluruh kontinjen negara, manakala Muhammad Hafiz Hashim pula kembali berada dalam prestasi terbaiknya sejak tersingkir awal pada Kejohanan Asia di Johor, awal bulan ini.

Berdasarkan ranking dunia, Chong Wei akan menjadi pertaruhan utama negara untuk menyumbangkan mata pertama dalam setiap perlawanan, manakala Choong Hann turun sebagai perseorangan kedua, diikuti Hafiz perseorangan ketiga.

Jika bertemu Indonesia, Chong Wei perlu berdepan juara Olimpik dan dunia, Taufik Hidayat dalam saingan pembukaan, di mana rekod pertemuan memihak kepada jaguh Indonesia itu yang menang dua daripada tiga perlawanan kedua-dua pemain, termasuk yang terakhir pada Kejohanan Dunia di Anaheim, Amerika Syarikat tahun lalu.

Bertemu Peter GadeChristensen pada pertemuan dengan Denmark pula, dia memegang rekod 2-0, manakala jika menentang Korea Selatan di suku akhir, rekod pertemuan adalah milik Hyun-Il yang menang 4-2 dan bertemu Lin Dan dari China, Chong Wei hanya menang sekali daripada tiga pertemuan mereka.

Choong Hann pula akan memainkan peranan perseorangan kedua. Bertemu Indonesia, dia akan menentang Sony Dwi Kuncoro, berdepan Denmark pula dia bertemu Kenneth Jonassen, manakala dia perlu menundukkan Seung Mo jika bertemu Korea Selatan di suku akhir dan jika menentang China, menantinya sama ada Chen Hong atau pun Chen Jin. Bagi Hafiz, dia mempunyai peluang cerah untuk memenangi perlawanannya sekiranya bertemu Park Shung Hwa (Korea), Simon Santoso (Indonesia) atau Niels Christian Kaldau (Denmark) dalam perseorangan ketiga.

Namun, pertemuan dengan China agak mencabar apabila dia berdepan cabaran Chen Jin atau Xia Xuanze.

Andai pertemuan Malaysia-China di final menjadi kenyataan, Malaysia tiada pilihan kecuali memenangi kedua-dua acara beregu, sambil berharap untuk mencuri salah satu mata perlawanan perseorangan, di mana Chong Wei tampak berpeluang apabila berdepan pemain nombor satu dunia, Lin Dan.

- Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l4qLGnxZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan