Sabtu, 10 Jun 2017

Choong Hann pilihan slot kedua



ARKIB : 10/01/2006

KUALA LUMPUR - Ketika tempat Lee Chong Wei dalam skuad Sukan Komanwel 2006 hampir pasti terjamin hasil kejayaan merangkul kejuaraan badminton Terbuka Switzerland, jaguh veteran, Wong Choong Hann menjadi calon pilihan untuk mengisi slot kedua perseorangan pada temasya di Melbourne, 15-26 Mac ini.

Kejayaan Choong Hann melangkah ke separuh akhir Terbuka Switzerland, sebelum tewas kepada 15-12, 2-15, 3-15 Choong Wei meletakkannya satu kedudukan lebih baik daripada pencabar terdekat dan penyandang juara Sukan Komanwel, Muhd. Hafiz Hashim yang tersingkir seawal pusingan kedua.

Malah, kemampuan bekas pemain nombor satu negara itu beraksi dalam acara beregu juga memberikan kelebihan buatnya untuk berada dalam senarai lima pemain lelaki yang bakal membawa cabaran Malaysia.

Choong Hann digandingkan buat kali pertama dengan pakar beregu, Choong Tan Fook di Basel minggu lalu dan kedua-dua pemain itu tersingkir pada pusingan kedua selepas kalah kepada Mathias Boe-Cartsen Mogensen dari Denmark.

Choong Hann, 28, yang juga pemain nombor sembilan dunia sebelum ini pernah digandingkan dengan Chew Choon Eng dan bertanding dalam beberapa kejohanan antarabangsa sepanjang 2005.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai pilihan untuk menyenaraikan dua pemain perseorangan bersama tiga pemain beregu atau satu perseorangan bersama dua pasangan beregu pada temasya di Melbourne.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jag2ikXv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan