Ahad, 25 Jun 2017

Hafiz mula rasai tekanan



ARKIB : 12/04/2006

KUCHING - Muhammad Hafiz Hashim mengakui mula terasa tekanan apabila bakal beraksi sebagai perseorangan ketiga negara di Piala Thomas hujung bulan ini, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Juara Seluruh England 2003 itu berkata, kedudukan sebagai perseorangan ketiga negara merupakan posisi paling mencabar jika beraksi sebagai penentu keputusan perlawanan apabila kedudukan terikat 2-2.

Katanya, kemungkinan itu tidak mustahil apabila Malaysia berdepan pasukan seperti China, Indonesia atau Denmark.

``Kedudukan perseorangan ketiga sebagai penentu keputusan perlawanan memanglah satu posisi yang memberi tekanan buat sesiapa sahaja.

``Tetapi saya sudah bersedia untuk menyahut cabaran di Jepun. Saya mempunyai pengalaman beraksi dalam dua Piala Thomas, dan sewaktu di Jakarta pada 2004, saya juga beraksi sebagai perseorangan ketiga,'' katanya.

Berdasarkan ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), Hafiz jatuh ke ranking ke-10 dunia, sekaligus terpaksa diturunkan sebagai perseorangan ketiga di belakang Lee Chong Wei dan Wong Choong Hann.

Choong Hann yang sebelum ini dilihat bakal diturunkan sebagai perseorangan ketiga, naik ke tangga kelapan - hanya boleh diturunkan sama ada sebagai perseorangan kedua atau pertama.

Sementara itu memandangkan tanggungjawab besar yang bakal digalasnya, Hafiz diberi tumpuan khusus menjalani sesi latihan lebih keras di sepanjang persediaan pasukan negara di Kuching.

Menurut Hafiz sesi latihan yang lebih menekankan ketahanan fizikal memberi banyak manfaat, sesuai dengan sistem kiraan 21 mata yang diperkenalkan pada kejohanan kali ini.

``Sistem tersebut menuntut pemain beraksi dengan lebih tangkas yang memerlukan lebih stamina,'' katanya.

Mengenai kedudukannya yang jatuh sebagai perseorangan ketiga, Hafiz berkata semangatnya tidak goyah dengan perubahan itu.

``Walau di posisi mana sekali pun saya beraksi, saya akan pastinya satu mata buat pasukan Malaysia,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4l1nfWMHt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan