Ahad, 25 Jun 2017

Kita menang mudah - Halangan pertama terlerai



ARKIB : 29/04/2006
Daripada: NORZIE MOHD. KHASBI (Jepun)
BEREGU Malaysia, Lee Wan Wah (depan) dan Choong Tan Fook menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Tony Gunawan-Bob Khan Malaythong 23-21, 22-24, 21-17 di Sendai, Jepun, semalam. – Bernama.

SENDAI , Jepun – Beban awal pemain-pemain Malaysia pada Kejohanan Badminton Piala Thomas terlerai apabila mudah dengan menundukkan Amerika Syarikat 5-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan D di Sendai City Gymnasium, semalam.

Walau pun pasangan veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah mempamer aksi mencemaskan apabila diheret dalam perlawanan rubber-game ketika menentang gandingan baru Amerika Syarikat, Tony Gunawan-Bob Khan Malaythong, namun keseluruhannya pemain-pemain negara sudah bersedia untuk berdepan ujian kedua, bertemu England, esok.

Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Muhammad Hafiz Hashim, malah beregu remaja, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tidak menunjukkan tanda-tanda gemuruh beraksi pada perlawanan pertama apabila menang mudah dalam perlawanan masing-masing dengan keputusan straight-set.

Pemain nombor dua dunia, Chong Wei menjalankan tugas pertamanya untuk mengutip mata sulung Malaysia apabila menundukkan Rai Raju 21-9, 21-11, sebelum Choong Hann memberi mata kedua dengan mengalahkan Eric Go 21-14, 21-9.

Juara Asia, Tan Fook-Wan Wah bermula agak goyah apabila menang tipis 23-21 pada set pembukaan, sebelum kalah mengejut 22-24 di set kedua dan menang 21-17 pada set penentuan ketika menyumbangkan mata ketiga Malaysia, yang pada awalnya dijangka mampu diraih dengan lebih mudah dengan ketiadaan Howard Bach, gandingan yang memberikan kejuaraan dunia buat Amerika bersama Tony di Anaheim, tahun lalu.

Juara Seluruh England 2003, Hafiz tidak menghadapi masalah untuk memberikan mata keempat Malaysia dengan menumpaskan Howard Shu 21-3, 21-7, sebelum Kien Keat-Boon Heong melengkapkan kemenangan besar pasukan negara dengan mengalahkan Eric Go-Ronald Sou 21-8, 21-7.

Kemenangan besar ke atas Amerika Syarikat itu bagaimanapun tidak boleh dijadikan pengukur kepada keupayaan sebenar Malaysia dalam cabaran Piala Thomas kali ini, namun ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock mengakui melepasi ujian awal amat melegakan kesemua pemain dan meleraikan beban pertama.

"Beban awal sudah berakhir dengan tamatnya perlawanan pertama. Pada saya perlawanan pembukaan amat penting untuk menentukan cabaran negara pada kejohanan ini, apabila ia dilepasi dengan baik, maka ia akan memberikan kesan baik kepada keseluruhan pasukan.

"Walaupun ada pemain yang tampak gemuruh dalam aksi sulung mereka, itu adalah perkara biasa. Tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai keseluruhan permainan pasukan, malah ada beberapa pemain yang tidak perlu memberikan aksi sebenar untuk mencatat kemenangan,'' kata Kim Hock.

Menurut ketua jurulatih negara itu, perlawanan sulung akan mengurangkan tekanan pemain dan menamatkan beban yang terkumpul sejak beberapa minggu lalu, seterusnya membantu mereka lebih bersedia menghadapi perlawanan keduanya menentang England esok.

– Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l4tINHfl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan