Ahad, 25 Jun 2017

Hafiz turun sebagai pemain perseorangan ketiga



ARKIB : 09/04/2006

KUCHING - Ketua jurulatih, Yap Kim Hock terpaksa mencongak semula strategi Malaysia pada pusingan akhir badminton Piala Thomas di Jepun hujung bulan ini selepas percaturan untuk menurunkan Muhd. Hafiz Hashim sebagai perseorangan kedua mungkin tidak dapat dilakukan.

Berdasarkan ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) kelmarin, Hafiz jatuh ke ranking ke-10 dunia, sekaligus terpaksa diturunkan sebagai perseorangan ketiga di belakang Lee Chong Wei dan Wong Choong Hann.

Choong Hann yang sebelum ini dilihat bakal diturunkan sebagai perseorangan ketiga, naik ke tangga kelapan - hanya boleh diturunkan sama ada sebagai perseorangan kedua atau pertama.

Bagaimanapun Kim Hock berkata, dia tidak bimbang dengan kemungkinan perubahan strategi terpaksa dilakukan ekoran daripada perubahan ranking kedua-dua pemain tersebut.

``Saya tidak begitu bimbang mengenai siapakah yang akan memikul cabaran perseorangan kedua atau ketiga, antara Choong Hann atau Hafiz.

``Pada saya, sama ada ia adalah Choong Hann ataupun Hafiz, sama saja. Kedua-dua pemain mempunyai keupayaan yang tidak jauh berbeza,'' kata Kim Hock selepas sesi latihan pasukan Piala Thomas di sini, semalam.

Dalam ranking terakhir dunia bertarikh 23 Februari, juara Seluruh England 2003, Hafiz menduduki tangga kelapan, manakala Choong Hann tempat kesembilan.

Bagaimanapun kelmarin, Choong Hann naik ke tempat kelapan, Hafiz ke-10, Chong Wei kekal di tangga kedua dunia, manakala Kuan Beng Hong, yang menjadi pilihan untuk mengisi slot perseorangan keempat di ranking ke-12.

Menurut Kim Hock, senarai muktamad kedudukan pemain perseorangan pada Piala Thomas bergantung kepada ranking yang akan dikeluarkan pada 13 April ini.

``Apa pun, saya tidak menjangkakan banyak perubahan akan berlaku dalam ranking terbaru itu nanti.

``Walau apa pun kedudukannya, yang lebih penting sekarang ialah menyiapkan pemain dengan sebaik mungkin sepanjang sesi latihan di Kuching.

``Pada saya, persiapan dan keupayaan pemain akan menentukan sejauh mana kita mampu pergi di Jepun dan bukan kedudukan ranking,'' katanya.

Peringkat awal Piala Thomas akan berlangsung di Sendai dari 28 April hingga 1 Mei, di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan D bersama England dan Amerika Syarikat.

Peringkat suku akhir akan berpindah ke Tokyo dari 2 Mei hingga 7 Mei dan pasukan negara dijangka menentang sama ada juara 13 kali, Indonesia atau Korea Selatan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4l179KmNn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan