Sabtu, 3 Jun 2017

Sekadar tempat kedua terbaik - Beregu naib juara



ARKIB : 05/09/2005
KUALA LUMPUR - Hajat Choong Tan Fook-Lee Wan Wah untuk meraih gelaran antarabangsa pertama mereka tahun ini tidak kesampaian apabila tewas mengejut kepada pasangan muda tuan rumah, Guo Zhengdong-Xie Zhongbo dalam perlawanan akhir kejohanan badminton China Masters di Beijing semalam.

Tan Fook-Wan Wah yang dianggap pilihan untuk memenangi pertemuan itu bagaimanapun tewas mudah 10-15, 4-15 dalam perlawanan yang hanya berlangsung kira-kira 40 minit.

Dengan kekalahan pasangan senior negara itu, China menguasai semua lima acara yang dipertandingkan - perseorangan dan beregu lelaki, perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran.

Kekalahan tersebut juga hanya melayakkan Tan Fook-Wan Wah membawa pulang AS$9,000 (RM34,000) selaku naib juara daripada hadiah lumayan keseluruhan yang ditawarkan AS$250,000 (RM950,000).

Biarpun gagal untuk memenangi kejuaraan sulung mereka sejak menjuarai Terbuka Malaysia 2004, namun pasangan negara itu tetap cemerlang dengan mara ke perlawanan akhir pertama sejak kembali berpasangan, tiga bulan lalu.

Dalam dua percubaan terakhir mereka sejak Wan Wah kembali daripada pembedahan lutut, pasangan itu hanya melangkah ke pusingan kedua Terbuka Singapura, Jun lalu dan pusingan ketiga Terbuka Malaysia, Julai lalu.

Kejayaan mara ke saingan akhir China Masters, yang merupakan kejohanan enam bintang juga mampu membantu memperbaiki ranking naib juara Seluruh England 2004 itu yang kini jatuh ke tangga 104 dunia.

Sementara itu pemain nombor satu dunia, Lin Dan menebus kegagalannya pada Kejohanan Dunia bulan lalu apabila muncul juara sulung China Masters dengan mengalahkan rakan senegara Bao Chunlai, 15-6, 15-13 dalam perseorangan lelaki.

Kejuaraan perseorangan wanita menjadi milik pemain nombor dua dunia, Zhang Ning yang menewaskan Zhao Mi 11-3, 5-11, 11-3.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iwdmygPH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan