Isnin, 5 Jun 2017

Tan Fook-Wan Wah, Hafiz juara Belanda



ARKIB : 17/10/2005

MAASPOORT, Belanda Ñ Pemain Malaysia menguasai dua daripada lima kategori yang dipertandingkan apabila Muhd. Hafiz Hashim dan pasangan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menjuarai acara perseorangan dan beregu lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Belanda, semalam.

Hafiz hanya mengambil masa 45 minit untuk menewaskan pemain Jepun, Shoji Satu 15-4, 15-12 pada perlawanan akhir itu.

Diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan, pemain negara berusia 23 tahun itu menang mudah di set pertama tetapi diberi tentangan sengit di set kedua sebelum muncul juara.

Dengan kemenangan itu, ini merupakan kejuaraan ketiga berjaya dirangkul Hafiz tahun ini selepas menjuarai Terbuka Switzerland dan Thailand sebelum ini.

Bagaimanapun kemampuan sebenar Hafiz tidak benar-benar teruji pada kejohanan ini kerana tiada pemain-pemain utama dari Indonesia, China dan Denmark mengambil bahagian.

Sementara itu, pasangan Tan Fook-Wan Wah meraih kejuaraan pertama mereka tahun ini selepas menewaskan pasangan Jepun, Tadashi Ohtsuka-Keita Matsuda dalam perlawanan akhir beregu lelaki.

Pasangan veteran negara itu yang turun sebagai beregu bukan pilihan pada kejohanan kali ini menang dengan permainan terus 15-7, 15-4 ke atas pasangan pilihan ketiga itu.

Mereka mengambil masa 40 minit untuk menjinakkan lawan menerusi corak permainan pantas dan menyerang yang mantap.

Malaysia bagaimanapun kempunan untuk meraih kejuaraan ketiga pada kejohanan ini apabila pasangan beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui tewas mengejut.

Walaupun diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan, mereka gagal mengatasi pasangan bidan terjun tuan rumah, Mia Audina-Lette Bruil apabila kalah 15-9, 15-10.

Acara perseorangan wanita pula diungguli pemain Jerman kelahiran China, Xu Huaiwen yang menewaskan pemain pilihan pertama dari Belanda, Yao Jie 11-7, 11-2.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j7QZnsw9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan