Jumaat, 2 Jun 2017

Kejutan Chong Ming, Kien Keat



ARKIB : 21/08/2005 
ANAHEIM, California - Daripada beregu yang tidak diberi banyak harapan, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat kini mula memasang impian untuk melakar kejutan mara ke perlawanan akhir untuk menundukkan beregu handalan Indonesia, Candra Wijaya-Sigit Budiarto pada separuh akhir, hari ini.

Pasangan negara itu mengesahkan tempat ke separuh akhir semalam selepas menumpaskan satu lagi beregu berpengalaman Indonesia, Flandi Limpele-Eng Hian 6-15, 15-12, 15-10 tidak sampai sejam selepas Lee Chong Wei menjadi pemain pertama Malaysia melayakkan diri ke peringkat empat terbaik itu.

Ini merupakan kejayaan besar kedua yang dicatatkan oleh beregu nombor lapan dunia itu di arena tertutup Arrowhead Pond selepas mengejutkan juara Seluruh England dan nombor tiga dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China pada pusingan ketiga, kelmarin.

Walaupun di atas kertas Candra-Sigit, yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Malaysia dan Singapura adalah pilihan untuk memenangi perlawanan, namun keputusan sukar untuk diramal kerana kedua-dua beregu tidak mempunyai rekod pertemuan.

Beregu Indonesia itu yang diletak sebagai pilihan kedua dipaksa bekerja keras ketika menumpaskan pasangan Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen 15-10, 11-15, 15-9 dalam satu lagi perlawanan suku akhir semalam.

``Saya tidak meletakkan sebarang sasaran pada awal saingan kerana ini hanya pengalaman pertama saya beraksi di Kejohanan Dunia tetapi sekarang ia tidak sama lagi.

``Saya tidak mahu mensia-siakan peluang terbaik ini kerana bukan mudah untuk sampai hingga peringkat separuh akhir,'' kata Koo Kien, 20, yang turut bermain dalam acara beregu campuran bersama Wong Pei Tty tetapi kandas di pusingan ketiga.

``Sudah tentu Candra dan Sigit adalah beregu yang jauh lebih berpengalaman dan hebat daripada kami tetapi saya tidak fikir reputasi itu mampu meresahkan kami.

``Kami telah membuktikan bahawa kami mampu menumpaskan beregu yang lebih baik ketika mengalahkan pasangan China semalam dan menewaskan Flandi-Eng Hian hari ini.''

Sementara itu Chong Ming berkata, dia dan Kien Keat tidak harus berasa tertekan menghadapi perlawanan hari ini kerana tekanan sebenarnya adalah kepada beregu Indonesia itu yang turun sebagai pilihan. - Mingguan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4irxecKL5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan