Jumaat, 2 Jun 2017

Chong Wei, satu beregu mara



 
ARKIB : 20/08/2005
Chong Wei, satu beregu mara
LEE CHONG WEI akan bertemu Bao Chun Lai dari China pada suku akhir kejohanan Badminton Dunia di Anaheim, California, hari ini. - Gambar Reuters.

ANAHEIM, California - Lee Chong Wei dan beregu Chan Chong Ming-Koo Kien Keat menyelamatkan maruah kontinjen besar Malaysia daripada pulang awal pada Kejohanan Badminton Dunia apabila meneruskan cabaran ke suku akhir di Stadium tertutup Arrowhead Pond, di sini semalam.

Daripada senarai 21 pemain - tiga perseorangan lelaki, empat beregu lelaki, dua perseorangan wanita, empat beregu wanita dan dua beregu campuran - kontinjen terbesar Malaysia dalam sejarah kejohanan sejak ia diperkenalkan di Malmo, Sweden pada 1977, cabaran negara kini hanya diteruskan oleh satu perseorangan dan beregu lelaki.

Malah semalam, Malaysia memulakan kempen hari keempat penuh mendebarkan apabila satu demi satu pemainnya tumbang, bermula dengan dua pemain perseorangan, Muhammad Hafiz Hashim dan Wong Choong Hann.

Ia disusuli dengan tiga beregu lelaki Choong Tan Fook-Chew Choon Eng, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Wun Fui, beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan beregu campuran, Kien Keat-Pei Tty.

Kekalahan tidak diduga beregu senior, Tan Fook-Choon Eng kepada pasangan Amerika Syarikat, Tony Gunawan-Howard Bach 10-15, 11-15 merupakan detik yang paling mencemaskan namun Chong Wei sebelumnya memastikan seorang wakil Malaysia melangkah ke suku akhir apabila mengalahkan Bjoern Joppien dari Jerman 15-4, 15-3.

Chong Ming-Kien Keat kemudian bangkit daripada kekalahan 11-15 pada set pertama sebelum mengejutkan juara Seluruh England dan beregu nombor tiga dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China 11-15, 15-4, 15-8.

``Sebelum datang ke sini pasukan negara meletakkan sasaran untuk memiliki sekurang-kurangnya satu beregu pada suku akhir, walaupun kami bukan dalam senarai pilihan awal tetapi kami gembira berjaya memenuhi sasaran itu,'' kata Chong Ming, yang layak ke separuh akhir Kejohanan Dunia di Seville 2001 ketika bersama Choon Eng.

``Biarpun sasaran awal telah tercapai tetapi kami tidak mahu berhenti setakat di situ. Keyakinan saya dan Kien Keat kini berada pada tahap tertinggi.''

Chong Ming-Kien Keat, pilihan kesembilan yang masih belum memenangi sebarang gelaran besar sejak digandingkan kurang setahun lalu memiliki rekod 1-1 dengan pasangan veteran Indonesia itu.

Pertemuan terbaru memihak kepada Flandy-Eng Hian yang menang 15-10, 15-10 di pusingan pertama Terbuka Singapura Julai lalu, manakala Chong Ming-Kien Keat menang pada Terbuka Singapura 2004 dengan 15-10, 10-14, 7-15 pada pusingan kedua.

Sementara itu, Chong Wei menunaikan janji ke suku akhir dan menempah pertemuan dengan pemain nombor empat dunia, Bao Chunlai dari China, yang sebelum itu mengecewakan naib juara dunia, Choong Hann 15-6, 15-12.

Walaupun menang kesemua empat pertemuan dengan Chunlai sebelum ini, termasuk kemenangan terbaru 11-15, 15-12, 15-9 pada separuh akhir Terbuka Malaysia bulan lalu, pemain nombor lima dunia itu tidak mahu memandang mudah perlawanan hari ini.

Bagi Chong Wei, 22, perlawanan kali ini amat berbeza dengan empat pertemuan terdahulu kerana ia berlangsung di pentas Kejohanan Dunia, di mana dia hanya membuat penampilan sulung.

``Esok adalah satu lagi hari baru, biarpun rekod pertemuan berpihak kepada saya ia bukan satu kelebihan,'' kata Chong Wei.

Sementara itu, mimpi ngeri juara Seluruh England 2003, Hafiz menjadi kenyataan apabila kalah kali keempat di tangan pemain nombor satu Korea Selatan, Lee Hyun Il 11-15, 5-15. Hyun Il, yang kini akan menentang pemain nombor satu dunia, Lin Dan. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4irilRDOs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan