Sabtu, 10 Jun 2017

Hafiz jadi tumpuan lagi



ARKIB : 18/01/2006
BEKAS juara Seluruh England, Muhd. Hafiz Hashim menjadi pertaruhan utama Malaysia pada Kejohanan Badminton Seluruh England yang dijadual bermula hari ini. Selain berusaha mencari peluang untuk kembali bergelar juara, Hafiz turut memburu tempat ke Sukan Komanwel di Melbourne Mac ini.

KUALA LUMPUR - Pertemuan di antara juara 2003, Muhd. Hafiz Hashim dan bintang muda China sedang meningkat, Chen Jin dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Badminton Seluruh England bakal menjadi tumpuan utama di National Indoor Arena, Birmingham hari ini.

Kejayaan juara remaja dunia, Chen Jin mengejutkan rakan senegaranya dan bekas pemain nombor satu dunia, Cheng Hong di perlawanan akhir Terbuka Jerman minggu lalu meletakkannya sebagai pemain yang perlu diberi perhatian.

Hafiz, 23, pilihan kelapan pula amat terdesak untuk memberi aksi terbaik di England bagi mendapat tempat dalam skuad Sukan Komanwel di Melbourne Mac ini, di mana dia merupakan penyandang juara.

Penyingkiran di pusingan awal Seluruh England hampir pasti akan memadam hajat pemain itu untuk mempertahankan kejuaraan di Melbourne selepas dia juga gagal mempertahankan gelaran Terbuka Switzerland, dua minggu lalu.

Hafiz, yang tidak melepasi peringkat kumpulan dalam kejohanan jemputan Copenhagen Masters, bulan lalu tewas kepada bekas juara dunia, Xia Xuanze dari China pada pusingan kedua di Basel.

Sementara itu selain Hafiz, juara Terbuka Thailand dan Switzerland 2005, kempen awal seorang lagi pemain senior negara, Lee Tsuen Seng juga tampak sukar apabila memulakan cabaran dengan menentang juara Asia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia.

Bagaimanapun laluan mudah mengiringi jaguh nombor satu negara, Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Kuang Beng Hong, Yeoh Kay Bin, Sairol Amar Ayob dan Pei Weng Chung.

Chong Wei, juara baru Terbuka Switzerland dan pilihan ketiga dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan cabaran Geoffrey Bellingham di perlawanan pembukaannya.

Jaguh veteran, Choong Hann pula akan bertemu Arvind Bhat dari India, naib juara Asia, Beng Hong memulakan saingan dengan menentang Bobby Milroy dari Kanada, manakala Sairol berdepan Jean-Michel Lefort dari Perancis.

Dua pemain muda negara, Wei Chung akan menentang Martyn Lewis dari Wales dan Kay Bin berdepan pemain dari pusingan kelayakan.

Dua beregu utama negara, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah tidak perlu beraksi di pusingan pertama selepas mendapat bye.

Ia meninggalkan tiga pasangan muda, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Wun Fui, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan Gan Teik Chai-Mohd. Zakry Latif bersaing dalam pusingan pertama.

Fairuzizuan-Wun Fui, yang berpeluang untuk mendapat tempat dalam skuad Sukan Komanwel andai mempamer prestasi memberangsangkan di Birmingham perlu mengatasi pasangan tuan rumah, Simon Archer-David Lindley.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jbhWBAY1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan