Jumaat, 2 Jun 2017

Pemain utama negara mara



ARKIB : 18/08/2005

ANAHEIM, California - Pemain-pemain utama negara, yang diketuai juara Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei dan naib juara dunia, Wong Choong Hann menepati ramalan awal apabila melepasi halangan pembukaan masing-masing pada Kejohanan Dunia di stadium tertutup Arrowhead Pond, semalam.

Selain Chong Wei dan Choong Hann, dua beregu lelaki, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Wun Fui dan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat turut melangkah ke pusingan kedua, diikuti perseorangan wanita, Wong Mew Choo dan beregu campuran, Kien Keat-Wong Pei Tty.

Kecemerlangan pasukan badminton Malaysia pada hari kedua kejohanan itu diteruskan lagi oleh dua beregu wanitanya, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Lim Pek Siah-Chor Hooi Yee menjadi wakil pertama negara melayakkan diri ke pusingan ketiga.

Seperti yang dijangkakan dari awal, pemain Republik Czech, Jan Frohlich bukan masalah besar buat pemain nombor satu negara, Chong Wei yang hanya memerlukan 27 minit untuk menang 15-10, 15-0.

Bagaimanapun, pemain nombor lima dunia itu dikejutkan seketika pada saingan awal set pembukaan apabila seketika ketinggalan 0-6 sebelum bangkit untuk memenangi perlawanan, sekali gus menempah pertemuan dengan Martyn Lewis dari Wales di pusingan kedua hari ini.

``Saya memang selalu bermula perlahan, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai perkara itu.

``Lagipun memandangkan ini hanya perlawanan pertama saya dan lawannya pula tidak begitu sukar, jadi saya cuba menggunakannya melakukan beberapa percubaan dalam usaha mencari rentak permainan yang lebih sesuai bagi menghadapi keadaan angin di gelanggang,'' kata Chong Wei, mengulas mengenai permainannya di awal saingan.

Sementara itu, Chong Hann pula nyata bukan tandingan buat pemain New Zealand, Geoffrey Bellingham apabila mencipta kemenangan mudah 15-1, 15-5 dalam saingan berat sebelah yang hanya berlangsung selama 23 minit.

Choong Hann, 28, yang berharap untuk mengulangi kejayaan mara ke final pada Kejohanan Dunia 2003 dijangka tidak menghadapi masalah untuk melepasi saingan keduanya hari ini, menentang Sheng-Shiun Liao dari Taiwan.

Beregu muda negara, Fairuzizuan-Wun Fui pula membuat penampilan pertama mereka pada Kejohanan Dunia dengan penuh mendebarkan apabila dipaksa berhempas-pulas dalam permainan tiga set untuk menundukkan beregu berpengalaman England, Simon Archer-Anthony Clark 15-7, 5-15, 15-12.

Fairuzizuan-Wun Fui, pilihan ke-12 dijangka berdepan satu lagi perlawanan mencabar pada pusingan kedua hari ini apabila menentang beregu berpengalaman Thailand dan bekas pemenang pingat emas Sukan SEA, Sudket Prapakamol-Patapol Ngernsrisuk.

Chong Ming-Kiean Keat melepasi halangan pertamanya dengan terlalu mudah, menyingkirkan pasangan dari Peru, Ugaz Francisco-Juan Jose Espinosa 15-1, 15-1. Beregu pilihan kesembilan itu dijangka menghadapi satu lagi perlawanan yang senang hari ini, bertemu Geoffrey Bellingham-Craig Cooper dari New Zealand.

``Sejak awal lagi saya telah menjangkakan Fairuzizuan dan Wun Fui tidak akan menerima laluan mudah apabila bertemu Archer dan Clark kerana sebagai beregu berpengalaman, mereka ini bijak menangani tekanan beraksi pada kejohanan besar.

``Fairuzian dan Wun Fui pula tambah gemuruh di awal saingan dan melakukan banyak kesilapan, harap mereka tidak mengulanginya esok kerana pengalaman yang ada pada beregu Thailand mampu memberi masalah kepada beregu negara sekiranya merea banyak membuat silap,''kata jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky.

Terdahulu, Kien Keat-Pei Tty melangkah ke pusingan kedua beregu campuran selepas menumpaskan Kristian Roebuc-Liza Parker dari England 15-4, 15-5 untuk bertemu pasangan Jepun, Shimizu Hiroshi-Tai Miyuki.

Pei Tty-Eei Hui dan Pek Siah-Hooi Yee pula mencatat keputusan memberangsangkan dalam beregu wanita dengan melayakkan diri ke pusingan ketiga, manakala Mew Choo meraih kemenangan moral ke atas pilihan ke-15, Xing Aiying dari Singapura, pemain yang bakal menjadi antara pencabar utamanya di Sukan SEA apabila menang 11-8, 11-8.

Pei Tty-Eei Hui, pilihan ketujuh dipaksa bangkit daripada ketinggalan di set pertama sebelum mengetepikan Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna dari Jepun 12-15, 15-6, 15-9, manakala Pek Siah-Hooi Yee menundukkan pilihan kesembilan Ella Tripp-Joanne Wright dari England 15-12, 3-15, 15-6 dalam satu lagi perlawanan.

Sementara itu, cabaran satu lagi beregu wanita negara, Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau berakhir selepas kalah mudah 4-15, 6-15 kepada pilihan kelima dari China, Zhang Dan-Zhang Yawen. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4irf2Hzxp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan