Isnin, 5 Jun 2017

Beregu kita ke final



ARKIB : 16/10/2005

MAASPOORT, Belanda - Beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui hanya selangkah lagi untuk merangkul kejuaraan antarabangsa pertama apabila layak ke perlawanan akhir badminton Terbuka Belanda, semalam.

Pei Tty-Eei Hui menepati statusnya sebagai pilihan pertama pada kejohanan bernilai AS$50,000 itu apabila menyingkirkan pasangan Jepun, Aki Akao-Tomomi Matsuda 15-7, 15-11.

Menanti naib juara Terbuka Indonesia itu pada saingan akhir hari ini adalah pemenang di antara pilihan ketiga, Kumiko Agura-Reiko Shiota (Jepun) dan beregu Belanda, Mia Audina-Lotte Bruil.

Cabaran Malaysia dalam acara beregu campuran bagaimanapun berakhir selepas pasangan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ooi Sock Ai tewas 15-4, 11-15, 6-15 kepada pilihan keempat, Ingo Kindervater-Kathrin Piotrowski dari Jerman.

Terdahulu, jaguh perseorangan negara, Muhd. Hafiz Hashim menghampiri gelaran antarabangsa ketiganya tahun ini dengan mara ke separuh akhir selepas menewaskan Joachim Fischer Nielsen dari Denmark 15-5, 15-10.

Juara Terbuka Switzerland dan Thailand 2005 itu dijangka tidak menghadapi masalah mara ke final apabila menentang pemain Jepun, So Sasaki di separuh akhir.

Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pula akan bertemu bekas jaguh Indonesia, Tony Gunawan-Halim Haryanto di separuh akhir selepas berhempas pulas menumpaskan Kristof Hopp-Ingo Kindervater dari Jerman 15-11, 16-17, 15-11.

Fairuzizuan-Lin Wun turut ke separuh akhir selepas mengetepikan Ian Palethorpe-Kristian Roebuck dari England 17-5, 15-5 untuk untuk berdepan beregu Jepun, Tadashi Ohtsuka-Keita Masuda.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j7OStE5f
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan