Ahad, 4 Jun 2017

Zulfadli curi tumpuan



ARKIB : 20/09/2005

KUALA LUMPUR - Pemain negara, Zulfadli Zulkifli mencuri tumpuan pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Sirkit Remaja Eropah di Malmo, Sweden minggu lalu apabila mempertahankan kejuaraannya dalam perseorangan lelaki bawah 13 tahun.

Kecemerlangan Zulfadli, 12, yang juga juara Grand Prix Remaja Kebangsaan ditambah lagi dengan kejayaannya menjuarai gelaran beregu lelaki berpasangan dengan Teo Ee Yee, pemain yang ditewaskannya di final perseorangan.

Pada kejohanan yang disertai oleh pemain-pemain dari 13 buah negara itu, Zulfadli menundukkan Ee Yee, dari Johor 15-9, 15-4 ketika mempertahankan gelaran perseorangan lelaki.

Terdahulu, pemain Selangor itu mengalahkan pemain Denmark, Vicktor Alesen 15-1, 15-10 di separuh akhir, manakala Ee Yee menewaskan Frederik Colberg juga dari Denmark 15-10, 15-5 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Kombinasi Zulfadli-Ee Yee kemudian memberi kejuaraan kedua buat Malaysia, sekali lagi mengecewakan pemain Denmark, Alesen dan Colberg 15-1, 15-3.

Zulfadli-Ee Yee, yang diletak sebagai pilihan pertama sebelum itu menumpaskan beregu senegara Alesen-Colberg, Mathias Rud Pedersen-Thomas Dew-Hattens 15-2, 15-1 di separuh akhir.

Kejayaan Zulfadli, yang mendominasi Grand Prix Remaja Kebangsaan dari 2002 hingga 2005 mempertahankan gelarannya di Malmo telah menarik minat penganjur, Persatuan Badminton Sweden untuk menaja pemain itu beraksi pada kejohanan 2006.

Bagaimanapun menurut bapa dan jurulatihnya, Zulkifli Sidek, Zulfadli dijangka dijemput beraksi bagi kategori bawah 15 tahun walaupun dia masih layak untuk beraksi dalam kategori bawah-13.

Malah kata Zulkifli lagi, kecemerlangan Zulfadli juga menarik minat Kelab Badminton Denmark untuk mengadakan perlawanan persahabatan sekitar November ini dengan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh mereka.

``Selepas kemenangan di Sweden, tumpuan Zulfadli kini adalah kepada kejohanan Terbuka Thailand dan Singapura (peringkat remaja), selain Terbuka Selangor, hujung tahun ini,'' kata Zulkifli.

``Malah pada Terbuka Selangor nanti, Fadli akan membuat penampilan pertama dalam divisyen dua iaitu kategori bawah umur 21 tahun, sekaligus menjadikannya sebagai pemain termuda pernah beraksi dalam kategori tersebut.''

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4j2YPVKZG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan