Khamis, 1 Jun 2017

Dilema Hafiz



 
ARKIB : 03/08/2005
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
MUHAMMAD Hafiz Hashim...Bimbang sakit gusi menghantuinya pada Kejohanan Badminton Dunia di California bulan ini.
  
KUALA LUMPUR - Jaguh perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim terpaksa berhati-hati menjelang Kejohanan Badminton Dunia 15-21 Ogos ini kerana khuatir sakit gusi yang dideritainya pada Terbuka Singapura bulan lalu akan berulang kembali.

Hafiz, 22, kalah mengejut 12-15, 15-8, 12-15 kepada Ng Wei dari Hong Kong pada pusingan ketiga Terbuka Singapura selepas mengadu sakit gigi.

Menurut jurulatih kebangsaan, Misbun Sidek, anak didiknya itu sepatutnya menjalani pembedahan untuk mengeluarkan gigi yang tumbuh dalam gusi, namun kesuntukan masa menjelang kejohanan di Anaheim, California menyebabkan Hafiz tidak dapat menjalani rawatan yang lebih rapi.

Katanya, Hafiz kini hanya bergantung kepada ubat penahan sakit sambil berharap kesakitan tidak akan menyerang pada masa yang kritikal.

``Risiko untuk dia (Hafiz) diserang sakit gigi boleh berlaku bila-bila saja, jadi pada masa sekarang adalah penting untuk dia menjaga kesihatannya terutama dalam soal pemakanan,'' kata Misbun selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

``Kalau hendak melakukan pembedahan, dia perlu berehat sekurang-kurangnya lima hari tanpa boleh menjalani sebarang latihan. Dalam tempoh yang terlalu suntuk seperti sekarang, mustahil untuk dia berbuat demikian.''

Bagaimanapun kata Misbun, keadaan Hafiz ketika ini tidak membimbangkan, malah pemain nombor lapan dunia itu mampu menjadi calon utama untuk membawa pulang kejuaraan dunia andai keadaan tersebut dapat diteruskan sehingga kejohanan berlangsung.

Menurut Misbun lagi, anak didiknya itu lebih berbahaya dan selesa apabila beraksi sebagai ``underdog'' dan ia telah terbukti ketika dia melakar sejarah menjuarai Seluruh England pada 2003.

Pencabar

``Dalam apa jua pertandingan, undian selalunya memainkan peranan penting untuk menentukan kejayaan seseorang pemain, begitu juga dalam kes Hafiz.

``Kalau dia mendapat undian yang baik minggu ini (Jumaat), dengan keadaannya sekarang, saya fikir dia boleh menjadi pencabar utama untuk membawa pulang kejuaraan dunia pertama buat Malaysia.

``Saya juga melihat (Lee) Chong Wei sebagai calon pilihan, malah saya meletakkan Chong Wei dalam kumpulan utama untuk memenangi kejuaraan bersama Lin Dan (pemain nombor satu dunia, China), Peter Gade-Christensen (Denmark) dan Taufik Hidayat (juara Olimpik, Indonesia).''

Selain Hafiz, juara Terbuka Switzer-land dan Thailand serta juara Terbuka Malaysia, Chong Wei, cabaran perseorangan lelaki negara juga akan dipikul oleh naib juara dunia dua tahun lalu, Wong Choong Hann.

Walaupun Choong Hann, yang mengalami kemerosotan prestasi dan gagal memenangi sebarang gelaran sejak 2004 kurang diberi tumpuan, Misbun percaya pemain itu masih boleh diharapkan.

Katanya, pengalaman yang dimiliki oleh bekas pemain nombor satu negara itu akan meletakkannya sebagai pencabar `berbahaya' yang mampu menewaskan mana-mana pemain jika mencapai kemuncak prestasi.

Malah, Misbun juga mengingatkan perseorangan negara supaya tidak terlepas pandang kepada kelompok pemain seperti Dicky Palyama (nombor 15 dunia, Belanda), Lee Hyun Il (Korea Selatan) atau Boonsak Ponsana (Thailand) yang mampu memberi kejutan.

Pasukan badminton Malaysia, yang akan dibarisi oleh 21 pemain dan bakal beraksi dalam kesemua lima acara - perseorangan dan beregu lelaki, perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran akan berlepas ke Los Angeles, Amerika Syarikat pada 12 Ogos ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4inJqXCPl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan