Khamis, 22 Jun 2017

Badminton tempah tiket ke Jepun



ARKIB : 17/02/2006
Ads by Kiosked

KUALA LUMPUR - Malaysia mengesahkan tiket ke pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas apabila muncul juara Kumpulan A dalam saingan kelayakan zon Asia selepas membelasah Nepal 5-0 di Jaipur, India semalam.

Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut buat pasukan negara selepas turut membenam Pakistan 5-0 pada aksi pembukaannya kelmarin.

Hari ini, Malaysia akan melengkapkan jadual perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang Iran, yang dijangka turut berpihak kepada pasukan negara dengan keputusan 5-0.

Sebarang keputusan tidak lagi memberi kesan kepada Malaysia kerana juara setiap kumpulan meraih tiket automatik ke Jepun, manakala naib juara perlu bersaing dalam aksi play-off.

Pada perlawanan yang nyata berat sebelah semalam, perseorangan utama negara, Lee Chong Wei diuji untuk pertama kalinya dalam acara beregu, berpasangan dengan Choong Tan Fook.

Muhammad Hafiz Hashim diturunkan sebagai perseorangan pertama dan juara Seluruh England 2003 itu hanya memerlukan 26 minit mudah menewaskan Pashupati Paneru 21-12, 21-9.

Wong Choong Hann menyumbangkan mata kedua Malaysia dengan mencatat kemenangan 21-7, 21-7 ke atas Balaram Thapa, manakala naib juara Asia, Kuan Beng Hong mengesahkan kemenangan skuad negara selepas mengalahkan Indra Mehata 21-10, 21-11.

Beregu muda, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Wun Fui mendapat kepercayaan beraksi dalam perlawanan kedua, kali ini menundukkan gandingan Pashupati-Balaram 21-5, 21-3.

Pasangan bidan terjun, Tan Fook-Wan Wah melengkapkan kemenangan selesa Malaysia apabila mudah menumpaskan Indra-Ram Singh 21-7, 21-1 hanya dalam masa 17 minit.

Sementara itu, skuad Piala Uber menghidupkan peluang untuk mencari tiket pusingan akhir yang akan diadakan di Jepun dari 28 April hingga 7 Mei ini selepas mengalahkan Iran 5-0.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2003, Wong Mew Choo tidak diturunkan dalam pertemuan dengan Iran sebaliknya juara kebangsaan, Julia Wong beraksi sebagai perseorangan pertama, dan menundukkan Behnaz Perzamanbin 21-7, 21-3.

Norsyahliza Baharum menghadiahkan mata kedua Malaysia, kemenangan kedua berturut-turut dicatatnya pada kejohanan ini dengan mengalahkan Sahar Zamanian 21-7, 21-5.

Mata kemenangan Malaysia diraih Anita Raj yang menumpaskan Samira Zorra 21-2, 21-7, manakala Wong Pei Tty-Chin Eei Hui kembali bergandingan untuk membenam Behnaz Perzamanbin-Nigin Amirpour 21-9, 21-1.

Pasangan Ooi Sock Ai-Fong Chew Yen pula melengkapkan kemenangan 5-0 Malaysia dengan menumpaskan Nakisa Sultani-Samira Zorra 21-4, 21-4.

SUMBER--Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4kk97CyH9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan