Jumaat, 2 Jun 2017

Laluan Hafiz menjadi mudah



 
ARKIB : 17/08/2005
MUHAMMAD Hafiz Hashim membalas hantaran pemain Iran, Kaveh Mehrabi pada perlawanan pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Anaheim, California, semalam. Hafiz menang 15-3, 15-3. - Agensi.

ANAHEIM, California - Jaguh perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim kini membayangkan laluan yang lebih mudah untuk melayakkan diri ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia kerana tidak perlu lagi berdepan jaguh Singapura, Ronald Susilo pada pusingan kedua esok.

Langkah kanan mengiringi pemain nombor lapan dunia itu ketika memulakan cabarannya di stadium tertutup Arrowhead Pond apabila mudah melepasi halangan pemain tidak ternama Iran, Kaveh Mehrabi pada pusingan pertama, sebelum menerima khabar penarikan diri Ronald akibat kecederaan.

Hafiz, 22, pilihan kelapan kejohanan menepati jangkaan awal apabila hanya mengambil masa 32 minit untuk mengetepikan pemain tidak Mehrabi 15-3, 15-3 dalam perlawanan yang sedikit terganggu oleh tiupan angin yang agak kuat.

Kurang 20 minit selepas meraikan kemenangan ke atas Mehrabi, pemain nombor dua kedua negara itu menerima khabar gembira apabila dia tidak perlu menghadapi Ronald di pusingan berikutnya selepas pemain Singapura itu menarik diri ketika sedang mendahului Olivier Fossy dari Perancis 15-9, 13-3.

Ronald, 26, yang memegang rekod pertemuan 3-1 ke atas Hafiz terpaksa dipapah ketika meninggalkan gelanggang selepas mengalami kecederaan buku lali kaki kanan - kecederaan yang telah membelenggu sebelum memulakan saingan.

Hafiz, juara Terbuka Thailand dan Switzerland kini akan menentang Fossy, lawan tidak ternama yang tidak pernah ditemuinya pada pusingan kedua hari ini sebelum dijangka berdepan satu lagi lawan berbahaya, Lee Hyun Il dari Korea Selatan pada pusingan ketiga esok.

``Ketiadaan Ronald mencerahkan peluang Hafiz untuk melangkah lebih jauh pada Kejohanan Dunia kali ini, tetapi satu perkara yang dia harus ingat, jangan sesekali pandang rendah keupayaan lawan,'' kata jurulatih negara, Misbun Sidek.

``Hafiz harus sedar, lawannya selepas ini bukan setakat Olivier Fossy tetapi dia juga perlu berlawan dengan angin. Siapa yang dapat menangani keadaan angin dengan baik dia mampu memenangi perlawanan, jadi dia perlu tetap berhati-hati sekalipun tidak bertemu Ronald.''

Hafiz, yang membuat penampilan kedua pada Kejohanan Dunia turut mengakui bahawa dia tidak mempamerkan permainan 100 peratus dalam pertemuan dengan Mehrabi kerana tumpuan utamanya adalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

Katanya lagi, strategi dan kawalan permainan yang baik akan menjadi penentu dalam perlawanan berikutnya kerana di Arrowhead Pond, setiap pemain tidak punya kelebihan memandangkan angin kuat datang dari semua arah dan mengelirukan hantaran.

``Perlawanan pertama ini penting untuk mengetahui keadaan sebenar gelanggang. Dengan keadaan seperti ini, setiap pemain berisiko untuk melakukan banyak kesilapan, malah dalam perlawanan tadi, pukulan saya juga beberapa kali terkeluar dari gelanggang,'' kata juara Seluruh England 2003 itu.

``Apa yang penting untuk saya sekarang adalah cuba mengawal bulu tangkis dalam keadaan berangin, kalau saya dapat lakukannya ia akan memberi kelebihan. Pada masa sekarang taktikal memainkan peranan yang amat penting, skil saja tidak memadai.'' - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ircueQwI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan