Jumaat, 9 Jun 2017

Mimpi Hafiz jadi igauan



ARKIB : 30/12/2005
COPENHAGEN, Denmark - Impian jaguh perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim untuk menutup tirai 2005 dengan gelaran antarabangsa keempat tidak tercapai apabila gagal mara ke perlawanan akhir badminton Copenhagen Masters di Falconer Center, di sini semalam.

Hafiz, 23, juara Terbuka Switzerland, Thailand dan Belanda terpaksa akur dengan kekalahan straight-set 12-15, 9-15 kepada penyandang juara, Peter Gade-Christensen dari Denmark.

Ini merupakan kekalahan kedua Hafiz daripada tiga pertemuannya dengan pemain nombor empat dunia itu tahun ini selepas turut tewas di suku akhir Terbuka Malaysia, Julai lalu.

Kekalahan tersebut meletakkan juara Seluruh England 2003 itu menduduki tangga kedua Kumpulan Dua, sekaligus terlepas tiket final kepada Gade-Christensen, yang akan memburu kejuaraan keenamnya dengan menentang jaguh China, Bao Chunlai.

Hanya juara setiap kumpulan layak untuk beraksi di perlawanan akhir kejohanan jemputan bernilai AS$50,000 (RM189,000) itu, hari ini.

Pemain nombor dua dunia, Chunlai yang masih gagal merangkul sebarang kejuaraan tahun ini sudahpun mengesahkan diri sebagai juara Kumpulan Satu selepas mencatat dua kemenangan, termasuk menewaskan jaguh veteran negara, Wong Choong Hann.

Hafiz, 23, sebelum ini memulakan kempen Copenhagen Masters dengan menumpaskan Eric Pang dari Belanda 15-7, 15-8, manakala Choong Hann mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 7-15, 6-15 kepada rakan senegara, Gade-Christensen, Kenneth Jonassen.

Wakil negara yang turut beraksi di Copenhagen adalah beregu muda, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock yang tewas dalam kedua-dua perlawanan Kumpulan Dua.

Sementara itu perlawanan akhir beregu lelaki hari ini bakal menemukan juara dunia, Tony Gunawan-Howard Bach dari Amerika Syarikat dan juara Seluruh England, Fu Haifeng-Cai Yun dari China.

Tony-Bach mengesahkan tiket akhir dengan menjuarai Kumpulan Satu selepas menundukkan beregu utama tuan rumah, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen 6-15, 17-16, 15-8.

Pasangan nombor tiga dunia, Haifeng-Cai Yun pula menamatkan saingan Kumpulan Dua sebagai juara selepas mengalahkan satu lagi beregu Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen 10-15, 15-5, 15-11.

Juara Seluruh England, Nathan Robertson-Gail Emms dari England pula menempah pertemuan dengan Lars Paaske-Mette Schjoldager dari Denmark dalam perlawanan akhir beregu campuran.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4jWs8QgwA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan