Jumaat, 9 Jun 2017

Hafiz bermula cemerlang



ARKIB : 29/12/2005

COPENHAGEN, Denmark - Jaguh perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim bermula baik dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Badminton Copenhagen Masters apabila menundukkan pemain Belanda, Eric Pang menerusi keputusan straight set di Falconer Center di sini semalam.

Bagaimanapun juara 2003, Wong Choong Hann menamatkan cabaran kejohanan jemputan bernilai AS$50,000 (RM189,000) itu tanpa sebarang mata selepas kalah kali kedua.

Hafiz, 23, yang memburu kejuaraan antarabangsa keempat tahun ini menang 15-7, 15-8 ke atas Eric.

Namun cabaran sebenar juara Terbuka Switzerland, Thailand serta Belanda ialah apabila menentang penyandang juara, Peter Gade-Christensen dari Denmark dalam perlawanan kedua Kumpulan 2, lewat pagi ini.

Pemain nombor empat dunia, Christensen, 29, yang juga juara lima kali mengalahkan Eric 15-7, 15-6.

Sementara itu, kemarau tanpa gelaran Choong Hann berterusan apabila tumpas kepada Kenneth Jonassen dari Denmark.

Choong Hann, yang tewas di tangan pemain China, Bao Chunlai dalam perlawanan pertama, kalah 7-15, 6-15 kepada juara Terbuka Singapura, Jonassen.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jWrJBTvy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan