Sabtu, 3 Jun 2017

Badminton China Masters: Beregu negara ke final



ARKIB : 04/09/2005

KUALA LUMPUR - Beregu veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menghampiri kejuaraan antarabangsa pertama mereka sejak kembali bergandingan tiga bulan lalu apabila melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton China Masters yang menawarkan hadiah lumayan AS$250,000 (RM950,000) di Beijing, semalam.

Selepas mengejutkan juara Seluruh England dan pilihan pertama, Cai Yun-Fu Haifeng di suku akhir kelmarin, bekas juara Terbuka Malaysia itu menyingkirkan pasangan utama Jepun, Tadashi Ohtsuka-Keita Masuda 15-2, 15-11 di separuh akhir.

Peluang Tan Fook-Wan Wah untuk merangkul gelaran pertama mereka dijangka cerah apabila bakal berdepan beregu muda tuan rumah, Guo Zhendong-Xie Zhongbo hari ini.

Zhendong-Zhongbo mara selepas menundukkan pilihan kedua dari Poland, Michal Logosz-Robert Mateusiak 15-8, 8-15, 15-4.

Terdahulu, China sudahpun mengesahkan tiga kejuaraan - perseorangan lelaki, perseorangan wanita serta beregu wanita apabila pemain-pemainnya menempah pertemuan sendiri dalam perlawanan akhir.

Bagaimanapun selain Tan Fook-Wan Wah, pasangan Singapura, Hendry Kurnia Saputra-Li Yujia berjaya memecah monopoli pemain tuan rumah dalam beregu campuran.

Hendry-Yujian akan bertemu pilihan pertama Zhang Jun-Gao Ling dari China dalam perlawanan akhir selepas mengalahkan satu lagi pasangan tuan rumah, He Hanbin-Feng Chen 13-15, 15-9, 15-8 di separuh akhir.

Penentuan gelaran perseorangan lelaki pula akan menemukan pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China dan rakan senegara, Bao Chunlai.

Lin Dan mudah mengalahkan Zhu Weilun 15-5, 15-5, manakala Chunlai menyingkirkan Chen Yu 13-15, 15-6, 15-3.

Keputusan (Separuh Akhir)

Perseorangan lelaki: Lin Dan (Chn) kln Zhu Weilun (Chn) 15-5, 15-5; Bao Chunlai (Chn) kln Chen Yu (Chn) 13-15, 15-6, 15-3

Beregu lelaki: CHOONG TAN FOOK-LEE WAN WAH (MAS) kln Tadashi Ohtsuka-Keita Masuda (Jpn) 15-2, 15-11; Guo Zhendong-Xie Zhongbo (Chn) kln Michal Logosz-Robert Mateusiak (Pol) 15-8, 8-15, 15-4

Perseorangan wanita: Zhang Ning (Chn) kln Liu Jian 11-9, 11-4; Zhou Mi (Chn) kln Xie Xingfang (Chn) 11-9, 11-7

Beregu wanita: Gao Ling-Huang Sui (Chn) kln Zhao Yunlei-Tian Qing (Chn) 15-9, 15-3

Beregu campuran: Zhang Jun-Gao Ling (Chn) kln Xie Zhongbo-Zhang Yawen (Chn) 1-15, 15-6, 15-10; Hendry Kurnia Saputra-Li Yujia (Sin) kln He Hanbin-Feng Chen (Chn) 13-15, 15-9, 15-8

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iwRn3QLP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan