Jumaat, 2 Jun 2017

Choong Hann belum mahu bersara



ARKIB : 20/08/2005

ANAHEIM, California - Jaguh badminton perseorangan negara, Wong Choong Hann belum bersedia untuk memikirkan tentang persaraan biarpun gagal mengulangi kejayaannya layak ke perlawanan akhir Kejohanan Dunia dua tahun lalu selepas tersingkir di pusingan ketiga kepada pemain muda China, Bao Chunlai, semalam.

Malah, bekas pemain nombor satu negara itu juga enggan meramalkan bahawa tahun ini merupakan penampilan terakhirnya pada Kejohanan Du-nia, sebaliknya menegaskan, tidak mustahil dia akan beraksi di kejohanan sama yang akan diadakan di Madrid, Sepanyol tahun depan.

Choong Hann, 28, yang tewas straight-set 6-15, 12-15 sebelum ini mengumumkan bahawa masa depannya bergantung kepada pencapaian yang ditunjukkan pada Kejohanan Dunia 2005.

Selain memilih persaraan sebagai jalan terakhir andai persembahannya gagal menunjukkan peningkatan, bekas pemain nombor satu negara itu juga mempunyai opsyen untuk bertukar kepada acara beregu, di mana dia sudahpun melakukan dua percubaan - berpasangan dengan Chew Choon Eng pada Terbuka Singapura dan Malaysia, bulan lalu.

``Saya tidak fikir untuk bersara dalam masa terdekat kerana percaya saya kini sudah semakin pulih daripada kemerosotan prestasi yang melanda sejak tahun lalu,'' kata pemain nombor 10 dunia itu.

Choong Hann gagal meraih sebarang kejuaraan antarabangsa sejak muncul juara Copenhagen Masters pada 2004, namun perjalanan kariernya sepanjang tahun ini tidaklah begitu buruk apabila dia layak ke separuh ahir Seluruh England, Februari lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4irl8immt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan