Isnin, 26 Jun 2017

Hafiz juara Terbuka Filipina



 ARKIB : 29/05/2006

KUALA LUMPUR - Hafiz Hashim yang dipersalahkan oleh pihak tertentu dalam kegagalan Malaysia pada Piala Thomas lalu, bangkit untuk melenyapkan kritikan itu dengan menjuarai Badminton Terbuka Filipina, semalam.

Dia menewaskan abangnya, Roslin Hashim 21-19, 21-7 pada perlawanan akhir kejohanan empat bintang yang bernilai AS$120,000 (RM437,099) di Arena Philsports, Pasig City.

Hafiz, pilihan utama kejohanan hanya memerlukan 32 minit untuk menang sekali gus menyamakan rekod empat pertemuan bersaudara itu dalam pertandingan sebenar, 2-2 sejak enam tahun lalu.

Roslin yang tidak diletakkan sebagai pilihan, sebelum ini menang dalam Terbuka Belanda 2000 dan Kejohanan Dunia 2003 sementara adiknya menewaskannya dalam Cabaran Elit Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 2003.

Kelmarin, Hafiz menewaskan Boonsak Ponsana 21-19, 21-13 pada separuh akhir manakala Roslin mengetepikan pilihan kedua, Ng Wei 21-15, 21-19.

Sementara itu, juara kebangsaan Julia Wong gagal memastikan gelaran berganda milik negara setelah kecundang dalam perlawanan perseorangan wanita.

Dia tewas 15-21, 20-22 dalam tempoh 35 minit kepada Saina Nehwal dari India sekali gus gagal menebus kekalahan pertemuan terakhir mereka ketika Kejohanan Satelit India, Oktober tahun lalu

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4l6sku7cS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan