Jumaat, 2 Jun 2017

Hafiz harapkan keajaiban



ARKIB : 13/08/2005

KUALA LUMPUR - Pemain perseorangan nombor dua negara, Muhammad Hafiz Hashim tidak mampu meramalkan apa-apa tentang peluangnya pada Kejohanan Badminton Dunia di Aneheim, California yang bermula 15 Ogos ini.

Berbeza ketika melakukan keajaiban muncul juara Seluruh England pada 2003 lalu, kali ini laluan Hafiz penuh ranjau berduri.

``Saya hanya boleh kata, seawal pusingan kedua lagi sudah menanti lawan yang sukar untuk saya atasi iaitu pemain Singapura kelahiran Indonesia, Ronald Susilo.

``Jadi saya perlu memikirkan untuk melepasi pusingan kedua terlebih dulu sebelum boleh menumpukan cabaran seterusnya,'' katanya.

Hafiz bersama Lee Chong Wei dan Wong Choong Hann bakal membawa cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki pada kejohanan dunia kali ini.

Salah seorang daripada mereka yang berjaya muncul juara akan mencatat sejarah menjadi pemain pertama Malaysia meraih gelaran dunia.

Sehingga ini jika Hafiz berjaya melepasi pusingan kedua, dijangka menantinya di pusingan ketiga adalah pemain nombor satu Korea Selatan, Lee Hyun Ill diikuti pemain nombor satu China, Lin Dan di pusingan keempat.

``Berdasarkan pertemuan lalu, rekod memang berpihak kepada Ronald apabila dia menang dua daripada tiga pertemuan kami,'' jelas Hafiz.

Kejohanan Dunia pada 15-21 Ogos ini diadakan di AS buat pertama kali sebagai usaha Persekutuan Badminton Antarabangsa untuk mempromosikan sukan itu ke seluruh dunia.

Malaysia menghantar pemain paling ramai berbanding negara lain dengansemua pemain layak secara merit.

Skuad Malaysia
Lelaki: Lee Chong Wei, Hafiz Hashim, Wong Choon Hann, Chan Chong Ming, Koo Kien Keat, Tan Bin Shen, Ong Soon Hock, Mohd Fairuzizuan Tazari, Lin Woon Fui, Chew Choon Eng, Choon Tan Fook.

Wanita: Wong Mew Choo, M. Sutheaswari, Wong Pei Tty, Chin Eei Hui, Ooi Sock Ai, Mooi Hing Yau, Lim Pek Siah, Chor Hooi Yee, Fong Chew Yen, See Phui Leng.

Jurulatih: Yap Kim Hock, Li Mao,Rexy Mainaky, Misbun Sidek, Cheah Soon Kit

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iqkcCShx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan